My Add

Thursday 10 November 2011

Hasrat DAP tidak wajar – Tun Mahathir

PELAJAR Jurusan Sains Komputer, Shahizul Muhamad mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mahathir Mohamad selepas menerima tandatangan di Dewan Universiti Putra Malaysia, Serdang, semalam. 
Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN
KHAMIS, 10 November, 2011: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat DAP untuk mengecilkan jumlah penjawat awam dengan memecat mereka merupakan satu langkah yang tidak wajar.

Namun katanya, DAP perlu menjelaskan terlebih dahulu kaedah yang akan digunakan mereka bagi memastikan kakitangan awam itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, beliau juga pernah mengurangkan jumlah kakitangan kerajaan semasa pentadbirannya, namun penjawat awam itu diserapkan ke dalam syarikat berkaitan kerajaan.

‘‘Bila mereka bekerja dengan syarikat, syarikat itu yang membayar gaji mereka, sekali gus kuranglah perbelanjaan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program dari kaca mata Tun Dr. Mahathir Dilema Ekonomi Bangsa Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Menurut Utusan Malaysia, Dr. Mahathir dalam pada itu menyifatkan jumlah kakitangan awam kira-kira 1.3 juta ketika ini adalah wajar dan seimbang dengan jumlah penduduk Malaysia yang kini berjumlah 28 juta.

Beliau berkata, untuk mentadbir urus negara yang mempunyai penduduk sebanyak itu memerlukan kerajaan untuk meningkatkan jumlah kakitangannya.

Katanya, memberi contoh, kegiatan mencuri hasil kayu di Pulau Langkawi berlaku oleh kerana kurangnya penguatkuasaan berikutan jumlah kakitangan pegawai perhutanan kurang.

‘‘Dahulu masa saya jadi Perdana Menteri, rakyat Malaysia hanya sebanyak 13 juta namun semasa saya berhenti, jumlah itu meningkat sehingga 26 juta. Jadi, takkan kita mahu mentadbir 26 juta rakyat tanpa memerlukan banyak kakitangan,” katanya.

DAP tak kenang jasa, satu penghinaan

Dari Pulau Pinang, Rokiah Abdullah melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyifatkan hasrat DAP itu sebagai satu penghinaan kepada kakitangan kerajaan yang merupakan penyumbang terbesar terhadap kemajuan negara.

Katamya, tindakan DAP itu juga dianggap sebagai tidak mengenang jasa kakitangan awam yang telah berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju serta moden berbanding sebelum ini.

‘‘Macam tidak kena apabila orang yang banyak berjasa kepada negara dalam mentransformasikan wajah Malaysia daripada negara miskin kepada moden diperlakukan seumpama itu.

‘‘Justeru, saya merasakan cadangan DAP untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam adalah satu penghinaan kepada kakitangan awam yang sudah bertungkus lumus dalam proses pembangunan negara.

"Mereka sepatutnya diiktiraf dan bukannya diperlakukan seperti itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang. semalam.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua kepada sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini mengenai cadangan untuk mengurangkan kakitangan awam sekiranya pembangkang dipilih sebagai pemerintah negara.

Kenyataan tersebut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak yang menyifatkan ia mengukuhkan lagi dakwaan bahawa parti itu tidak selesa dengan penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.

Menurut Nor Mohamed, penjawat awam telah banyak berkorban untuk memajukan negara ini dan seharusnya pengorbanan itu diiktiraf dan dihargai oleh semua pihak.

No comments:

Post a Comment