My Add

Tuesday 8 November 2011

Kesatuan sekerja, NGO bantah DAP

SELASA, 08 November, 2011: Hasrat DAP yang mahu mengurangkan bilangan penjawat awam dibantah dan disifatkan sebagai satu tindakan berunsur politik

Beberapa kesatuan sekerja bangkit menentang cadangan DAP itu yang dianggap sebagai tidak rasional serta tidak berasas dan mempunyai agenda tersirat.

Beberapa Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula mencabar DAP kurangkan kakitangan awam di negeri dikuasainya.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan reaksi dan batahan itu sebagai beirta utama di muka hadapan berdasarkan laporan Norliza Mohamad Zakaria, Md. Azrin Rosly, Fazrina Ayu Raduian dan Mohd. Firdaus Ismail. 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, hasrat tersebut adalah tidak rasional kerana tidak mempunyai alasan yang munasabah.

“Kami di bidang perguruan khususnya menolak 100 peratus hasrat tersebut yang dilihat bukan satu langkah bijak.

“Lebih-lebih lagi peningkatan pelajar sebanyak 500,000 orang setiap tahun manakala banyak guru yang akan bersara menyebabkan keperluan guru meningkat,” katanya. 

Beliau mengulas mengenai hasrat DAP untuk mengurangkan kakitangan awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara dan mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu tidak selesa dengan penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri tidak bersetuju dengan hasrat tersebut yang dilihat boleh menyebabkan kualiti perkhidmatan terjejas.

“Contohnya, dalam bidang penguatkuasaan seperti kami, sekiranya tenaga kerja dikurangkan, sudah tentu akan menyukarkan untuk mengawal jumlah kenderaan yang berjuta-juta.

“Tidak mungkin, suatu masa nanti kita mahu menswastakan perkhidmatan awam yang menyebabkan lebih mementingkan keuntungan berbanding untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (Kesukma), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, pengurangan itu lebih membawa keburukan daripada kebaikan yang mana meningkatkan lagi pengangguran dan kebergantungan khidmat luar sehingga menyebabkan kos lebih tinggi.

“Hasrat DAP dilihat mempunyai agenda tersirat umpama ada udang di sebalik batu. Dalam perkhidmatan kami, bilangan pelajar semakin lama makin meningkat dan memerlukan penambahan kakitangan mengikut keadaan,” jelasnya.

Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) cawangan Kuala Lumpur, Ja‘apar Mansor berkata, tidak semestinya pengurangan bilangan penjawat awam akan dapat mengurangkan bajet kerajaan malah boleh menyebabkan kesan yang sebaliknya.

Pengerusi Persatuan Pekerja Wanita, Silam Hassan berkata, pengurangan berkenaan adalah agenda DAP untuk mengurangkan hasil ekonomi orang Melayu dan ini membuktikan mereka kurang senang dengan pencapaian bumiputera kini.

“Jika penjawat awam rata-rata bangsa Melayu dikurangkan, mereka juga sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak diberi peluang untuk menjawat jawatan di syarikat milik bukan Melayu,” katanya.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja Pekerja KTMB, Abdul Razak Md. Hassan berkata, hasrat tersebut perlu dibantah keras kerana kewujudan pelbagai sektor awam di negara ini adalah inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat di negara ini agar mempunyai punca pendapatan.

“Adakah dengan berniat mengurangkan jumlah penjawat awam maka ruang kerja akan disediakan oleh mereka yang terlibat. Ini sesuatu yang perlu dipandang serius dan ditentang kerana akan meningkatkan jumlah pengangguran,” katanya.

Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal, Kementerian Pendidikan Malaysia (KSKM), Hamran Ahmad menyatakan kenyataan yang dibuat Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua itu lebih berat kepada unsur-unsur politik daripada menjaga 

kepentingan penjawat awam yang lebih 80 peratus terdiri daripada orang Melayu.

“Mengurangkan jumlah kakitangan bermakna ada penjawat yang akan kehilangan kerja. Ini akan membantutkan perkembangan ekonomi negara dan akan memberi impak yang tidak sihat kepada negara,” katanya.

Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia turut membantah cadangan DAP dengan menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

Presidennya, Alias Aziz berkata, kerajaan yang baik ialah kerajaan yang dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara.

NGO cabar DAP lakukan di negeri yang dikuasai

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mencabar DAP melaksanakan hasrat bagi mengurangkan bilangan penjawat awam di negeri-negeri yang dikuasainya terlebih dahulu bagi menunjukkan keberkesanan langkah tersebut.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, tindakan itu perlu dibuat sekiranya mereka benar-benar serius dan bukan hanya cakap mulut bagi menimbulkan isu dan provokasi untuk mendapat publisiti.

"Memang sejak dari dulu lagi, kita ketahui mereka (DAP) mempunyai agenda-agenda tersirat dan kebanyakan penjawat awam adalah orang Melayu. Tidak mustahil sekiranya mereka memegang tampuk pemerintahan, lebih banyak perubahan yang berkaitan dengan orang Melayu dibuat.

"Sebelum ini pun, kita lihat dengan jelas banyak isu-isu dipertikaikan dan diprovokasikan atas pelbagai alasan seperti dasar hak asasi manusia dan kebebasan yang boleh mengundang huru-hara serta keresahan di kalangan masyarakat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat DAP mengurangkan kakitangan awam sekiranya memerintah negara dan mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu tidak selesa melihat penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.

Tambah Hilmi, kebanyakan bukan Melayu tidak begitu minat menyertai perkhidmatan awam kerana lebih gemar berniaga dan bekerja dengan swasta yang boleh memberikan lebih banyak pendapatan.

"Justeru, diharap agar orang Melayu sedar dan kembali bersatu hati. Janganlah kerana pangkat dan harta menyebabkan maruah, bangsa serta agama sanggup digadaikan. Tidak guna menyesal jika suatu masa nanti, anak bangsa kita menjadi pengemis di negara sendiri ," tegasnya

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, kenyataan DAP sebenarnya ibarat mahu menabur pasir ke dalam periuk nasi orang Melayu.

Menurutnya, majoriti yang bekerja sebagai kakitangan awam terdiri daripada orang Melayu dan isu yang dibangkitkan ini mempunyai agenda tersendiri bagi DAP yang nyata bersikap rasis terhadap kaum tersebut.

"Apa yang diusulkan oleh DAP memang sengaja dicipta sebagai salah satu langkah untuk mencapai matlamat sebenarnya bagi menjatuhkan orang Melayu seperti yang dirancangkan sejak dahulu lagi.

"Cuma yang menghairankan ialah bagaimana pemimpin pembangkang Melayu yang seolah-olah buta dengan apa yang cuba dilakukan oleh DAP sehingga mereka bebas melakukan keputusan yang mampu menjatuhkan Melayu," katanya.

Beliau turut menyatakan yang AP seharusnya tidak perlu bimbang dengan perkara ini kerana ramai kaum bukan Melayu lebih minat untuk bekerja sendiri.

"Bangsa Cina terutamanya lebih berminat untuk bekerja sendiri dan berniaga berbanding berkhidmat sebagai kakitangan awam dan ternyata pendapatan yang mereka peroleh lebih lumayan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment