My Add

Tuesday 22 November 2011

Kontinjen negara atasi sasaran, sukan gagal menyerlah dikaji

SELASA, 22 November, 2011:
TEMASHA Sukan SEA ke-26 Indonesia yang berlangsung di Palembang dan Jakarta selama 12 hari menyaksikan kontinjen Malaysia berjaya mengatasi sasaran 40 hingga 45 pingat emas yang ditetapkan, dengan meraih 59 pingat emas secara keseluruhan. 

Bernama melaporkan dari Pelambang, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, berkata jumlah pungutan pingat itu adalah pencapaian kedua terbaik Malaysia di luar Kuala Lumpur.

"Ia adalah pencapaian kedua terbaik selepas di Korat (Thailand) dengan 68 pingat emas. Kalau tiga acara sukan keutamaan seperti hoki, boling padang dan skuasy dipertandingkan, mungkin pencapaian kontinjen akan lebih baik," katanya pada sidang akhbar rumusan prestasi kontinjen Malaysia di Pelembang, hari ini.

Beliau berkata, daripada 59 pingat emas itu, 10 pingat datang disumbangkan sukan yang bukan di bawah program pembangunan sukan MSN. 

"Empat datang daripada luncur air, dua (renang laut terbuka), dua (lawan pedang), acara olahraga 4x400m lelaki dan penampilan semula Sam Chong dalam acara snooker," katanya. 

Kontinjen negara yang menyertai 38 daripada 43 jenis sukan yang dipertandingkan dengan meraih 59 pingat emas, 50 perak dan 82 gangsa dengan akuatik menyumbang pingat emas terbanyak. 

Acara sukan akuatik secara keseluruhannya meraih 19 pingat emas dengan tujuh daripada acara terjun, dua daripada renang laut terbuka serta renang dan renang berirama masing-masing dengan lima pingat emas.

Atlit renang berirama, Katrina Ann Abdul Hadi dan Shareen Hui menjadi atlit yang meraih pingat emas terbanyak dengan masing-masing meraih lima pingat emas. 

Sementara itu, acara sukan memanah dan menembak dikategorikan sebagai sukan yang mempamerkan prestasi sederhana. 

"Bagi acara recurve, kita tidak menghadapi masalah tetapi dalam acara compound kita masih belum capai prestasi yang memuaskan. Dalam acara menembak, Nur Suryani (Mohamed Taibi) menunjukkan bahawa beliau berjaya kekalkan prestasi sejak daripada Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tetapi penembak elit lain tidak dapat raih pingat emas," katanya. 

Zolkples berkata, MSN akan mengkaji semula kegagalan beberapa jenis sukan yang gagal menyumbang emas untuk kontinjen negara. 

"Antara sukan yang gagal adalah gimnastik dan pelayaran. Kita sasarkan atlit gimnastik artistik untuk capai pingat emas tetapi mereka gagal. 

Bagi pelayaran, mereka sepatutnya pulang dengan pingat emas sebab mereka berjaya raih pingat perak di Sukan Asia," katanya. 

Zolkples berkata, kajian juga akan dilakukan terhadap prestasi skuad sepak takraw negara dan taekwondo.

FAM sedih dua penonton Indonesia maut ketika final bola sepak 

Di Kuala Lumpur,  Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini menyatakan rasa sedih apabila dua peminat bola sepak Indonesia maut selepas berasak-asak bagi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA, malam tadi.

Menurut AFP, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, berkata pihaknya sedih atas kejadian berkenaan dan sememangnya sesuatu yang malang apabila perlawanan itu dicacatkan dengan sikap penyokong yang ganas dan perosak kini mencemarkan sukan berkenaan serta sepatutnya tindakan berkenaan sudah berlalu.

Polis berkata, dua peminat bola sepak Indonesia maut selepas berasak-asak bagi mengikuti perlawanan akhir itu manakala sebahagian lagi penyokong dikejarkan ke hospital termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang terjatuh dan dilaporkan dalam keadaan koma.

Malaysia muncul pemenang menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 selepas tamat perlawanan masa tambahan. 

No comments:

Post a Comment