My Add

Friday 17 February 2012

131 projek EPP jana ekonomi negara

NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai pada majlis perasmian Projek Ammonia Urea Sabah di Sipitang, semalam. Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. - BERNAMA

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN


KOTA KINABALU, KHAMIS, 16 Februari, 2012: 16 Feb. - Sebanyak 131 Projek Permulaan (EPP) yang boleh menjana pendapatan per kapita sebanyak RM48,000 digariskan dalam pelbagai sektor bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selain itu, program yang digerakkan dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) itu mampu mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baru.

Menurut beliau, daripada jumlah itu sebanyak 31 EPP dikenal pasti di Sabah dengan sasaran pelaburan sebanyak RM77.5 bilion menjelang tempoh sama.

"Ia dijangka mencipta hampir 150,000 pekerjaan baru seterusnya membantu meningkatkan ekonomi Sabah kepada purata sembilan peratus setahun.

"Sabah diunjurkan mencapai Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM110 bilion dan pendapatan per kapita kira-kira RM32,400 atau 72 peratus daripada sasaran nasional dalam tempoh yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Hari Terbuka Koridor Pembangunan Sabah (SDC)-Program Koridor dan Bandar Utama di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak; Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Datuk Dr. Mohd. Yaakub Johari.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan peruntukan dana mudah cara bernilai RM459.2 juta bagi membangunkan enam projek terpilih di negeri ini.

Projek berkenaan adalah Pusat Peranginan Sipadan-Bakau di Tawau (RM49 juta), Loji Janakuasa Geoterma (RM35 juta), Pusat Konvensyen dan Teknologi Antarabangsa Penampang (RM19.9 juta), Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (RM250 juta), Pusat Perubatan Gleneagles Kota Kinabalu (RM47.7 juta) dan Pusat Peranginan Integrasi Dalit Bay (RM57.6 juta).

Perdana Menteri turut menyaksikan perjanjian pembelian tenaga antara Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan Kimanis Power Sdn. Bhd.

Melalui perjanjian berkenaan, Kimanis Power Sdn. Bhd. bersetuju menyalurkan 300 megawatt tenaga elektrik kepada SESB dalam tempoh 21 tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment