My Add

Sunday 5 February 2012

ADUN tolak cadangan NGO India

PULAU PINANG, AHAD, 05 Februari, 2012: Seorang wakil rakyat DAP menolak dakwaan muzik yang dimainkan di gerai-gerai yang didirikan di kawasan penganut Hindu berhimpun sempena Thaipusam sebagai punca golongan belia bertindak liar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R. S. N. Rayer berkata, sudah berpuluh-puluh tahun kaum India menyambut Thaipusam dengan cara tersebut dan tidak sepatutnya ia dihentikan secara drastik.

Menurutnya, tindakan pihak tertentu melaksanakan sistem bunyi secara berpusat sepanjang Thaipusam disifatkan sebagai cuba bermain politik.

"Sudah berpuluh-puluh tahun kami merayakan Thaipusam dengan tradisi ini. Maka kami mahu mengekalkan keunikan ini," katanya pada sidang akhbar di Jalan Kebun Bunga, di sini, semalam.

Semalam, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India melahirkan kekesalan dengan keputusan menarik balik pelaksanaan sistem muzik berpusat bagi memainkan lagu-lagu keagamaan sepanjang perayaan Thaipusam, Selasa ini dan ditunda ke tahun depan.

Difahamkan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Kuil Balathandayuthapani Waterfall untuk melaksanakan sistem muzik berpusat telah dipersetujui dan diluluskan oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Harta Wakaf Hindu, Profesor P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kelulusan tersebut ditarik balik dan ditunda ke tahun depan selepas campur tangan Rayer.

Dalam pada itu, Rayer memberitahu, beliau tetap dengan pendiriannya membantah keputusan kuil berkenaan untuk melaksanakan sistem muzik berpusat.

Jelasnya, surat bantahan dihantar kepada Ramasamy berhubung perkara itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment