My Add

Monday 13 February 2012

Bantuan kerajaan Pusat diperinci

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU, AHAD, 12 Februari, 2012: Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPnK) akan menjelaskan secara terperinci kepada rakyat setiap peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan Pusat kepada kerajaan Pas Kelantan sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penjelasan tersebut bagi memberi maklumat yang tepat kepada rakyat negeri ini selain membuang tanggapan negatif mereka terhadap kerajaan Pusat.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses memperincikan semua peruntukan tersebut sebelum boleh didedahkan kepada umum.

"Saya hendak sebut kita (kerajaan Pusat) banyak membantu rakyat Kelantan, kita akan hebahkan, kita sudah ada angka-angka awalan dan pada minggu depan saya akan bermesyuarat dengan Kementerian Kewangan untuk memperincikan semuanya.

"Kita tahu ada persepsi bahawa kita jahat, zalim dan tidak adil. Saya rasa amat tidak adil rakyat Kelantan mempunyai persepsi begitu kerana ia tidak tepat, tetapi tidak boleh salahkan mereka sebab mereka tidak mendapat maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat MTPnK di Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, antara perkara yang tidak diketahui oleh rakyat adalah secara purata kira-kira 40 peratus perbelanjaan mengurus dan 70 peratus perbelanjaan pembangunan di negeri ini sejak beberapa tahun lalu adalah sumbangan kerajaan Pusat melalui pelbagai jenis peruntukkan.

"Selain itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sedang membina loji air di Pintu Geng bernilai RM52 juta untuk bekalan air bersih dan setelah siap akan diserahkan kepada Air Kelantan Sdn. Bhd., (AKSB). Kita belanja wang untuk bantu rakyat Kelantan dan apabila siap nanti hasilnya akan dapat dinikmati oleh AKSB kerana mereka yang mengutip hasil.

"Pada tahun lepas Kerajaan Pusat memperuntukkan RM100 juta untuk menyelenggara jalan-jalan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) pula menerima peruntukan kira-kira RM21 juta setiap tahun. Ini satu angka yang sebelum ini ramai tidak tahu, kita akan memperincikan selepas ini," katanya

Katanya, semua peruntukan tersebut diberikan berdasarkan peruntukkan perlembagaan seperti mana yang dinikmati oleh negeri-negeri lain.

Malah jelas beliau, ada di antara peruntukan itu diberi khusus untuk membantu rakyat negeri ini sahaja selain permohonan yang dibuat oleh kerajaan Pas Kelantan.

"Betapa besarnya sumbangan kerajaan Pusat kepada kerajaan Pas Kelantan, maka saya sebagai Pengerusi MTPnK bertanggungjawab untuk menghebahkan perkara-perkara ini.

"Kita tahu ini adalah tanggungjawab untuk bantu negeri, tetapi kita tidak mahu mana-mana pihak kata kita zalim dan menyekat peruntukan. Insya-Allah kita akan sampaikan maklumat sebenar untuk membetulkan persepsi kerana peranan kita di Kelantan cukup besar sekali," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment