My Add

Sunday 5 February 2012

Bela nasib pekerja kontrak

Oleh HAKIMI ISMAIL

PUTRAJAYA, AHAD, 05F Februari, 2012: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan supaya menyerap kesemua pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan ke jawatan tetap selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, CUEPACS menerima banyak aduan daripada pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan memaklumkan kontrak mereka tidak disambung walaupun menunjukkan mutu kerja yang baik.

Sehubungan itu, katanya, CUEPACS merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kesemua pekerja kontrak terutamanya selepas pembekuan jawatan pada tahun lalu diserap ke jawatan tetap selewat-lewatnya hujung tahun ini.

"Pekerja kontrak juga adalah penjawat awam dan rata-rata telah berkhidmat lima hingga sepuluh tahun. Sepanjang perkhidmatan pelbagai peranan dan jasa telah dicurahkan untuk agensi tertentu, jadi tidak salah jika mereka diserap ke jawatan tetap.

"Kita janganlah menjadikan pekerja kontrak sebagai mangsa selepas pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Peruntukan yang banyak dalam skim tersebut bukan alasan untuk tidak menyerap pekerja kontrak ke jawatan tetap," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurut Omar, kebanyakan pekerja kontrak kini berada dalam dilema dan sering membuat aduan kepada CUEPACS agar nasib mereka terbela.

"Oleh itu, saya memohon jasa baik Perdana Menteri untuk memandang serius isu ini kerana ia melibatkan keadilan untuk pekerja kontrak yang telah berkhidmat sekian lama dengan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu katanya, CUEPACS akan membawa isu tersebut dalam mesyuarat bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang terdekat demi memastikan nasib pekerja kontrak terbela. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment