My Add

Monday 6 February 2012

Bersatu, kukuhkan perpaduan - Shafie

MMOHD. Shafie Apdal menyampaikan tangki air besar kepada warga emas sambil diperhatikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Jaujan Sambakong (dua, kiri), Timbalan Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Yussoff Dohab (tiga, kiri) dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad (kiri) di Kampung Siliggit, Semporna, semalam.

SEMPORNA, AHAD, 06 Februari, 2012: Ahli UMNO diingatkan supaya mengukuhkan perpaduan dan kerjasama untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, seruan bersatu itu perlu ditekankan dari semasa ke semasa kerana ia sebahagian tuntutan ajaran Islam yang menjadi teras perjuangan UMNO.

"Adalah diharapkan ahli dan pemimpin dapat mengeratkan kerjasama dalam memperkasakan parti dan pada masa sama, langkah ini akan menghapuskan sebarang unsur pengkhianatan terhadap parti pada pilihan raya akan datang," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Siliggit dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, Ahli Parlimen Semporna itu turut menyampaikan bantuan beg sekolah kepada kanak-kanak prasekolah, mesin jahit, enjin sangkut dan tangki kepada nelayan kampung berkenaan.

Shafie berkata, ketika ini, amat jelas pakatan pembangkang semakin lemah akibat perpecahan dan pergeseran antara pemimpin parti-parti terlibat.

Justeru, cawangan UMNO, ujarnya, diminta menjalankan program Jalinan Rakyat dengan lebih aktif bagi mendekati pengundi di kawasan masing-masing.

Beliau menambah, pelbagai program kebajikan yang dirangka bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dapat dilakukan secara berterusan kerana kemampuan kerajaan BN mentadbir urus kekayaan negara dengan baik.

Katanya, program-program ke arah kebaikan yang cuba diberi gambaran buruk oleh pembangkang, dibuat tanpa perlu meminjam daripada institusi kewangan luar seperti Bank Dunia mahupun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Ini semua kita mampu buat sebab tadbir negara dengan baik sehingga membolehkan kekayaan dapat dipindahkan kepada rakyat," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, bagi kawasan yang belum menikmati kemudahan infrastruktur atau mendapat bantuan daripada kerajaan, mereka diminta supaya bersabar dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata pembangkang yang sememangnya sentiasa mencari kesalahan kerajaan. - UTUSAN.

No comments:

Post a Comment