My Add

Sunday 12 February 2012

BN tidak tergugat isu individu

IPOH, SABTU, 11 Februari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak andaian kononnya Barisan Nasional (BN) dijangka sukar memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 ekoran kegagalan menyelesaikan beberapa isu yang dikaitkan dengan pemimpin kerajaan.

Beliau sebaliknya berkata, tidak semua isu yang dibangkitkan terutama pembangkang wajar dikaitkan dengan kerajaan, lebih-lebih lagi jika ia bersifat individu.

“Tak banyak mereka yang terlibat, janganlah buat andaian. Pihak sana (pembangkang) pun banyak skandal. Kita ambil kes demi kes dan saya tidak fikir begitu banyak kes sehingga begitu sukar untuk kita selesaikan.

“Sesetengahnya bukan pasal kerajaan, tetapi pihak tertentu, individu dan sebagainya. Janganlah semuanya dibabitkan dan dipalitkan kepada kerajaan, saya tidak fikir ia boleh menggugat BN,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi dialog Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Muhyiddin ditanya mengenai dakwaan kononnya BN sukar mendapat kemenangan dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang ekoran beberapa isu termasuk skandal yang dikaitkan dengan pemimpin parti itu.

Kata beliau: “Kita beri penjelasan dan penerangan yang perlu untuk langkah penambahbaikan dan pembetulan. Kita dalam kerajaan ini manusia, dan setiap manusia ada kelemahan. Bila kita perbetulkan, rakyat boleh terima.”

Ditanya pandangan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mengenai kesukaran BN memenangi dua pertiga kerusi Parlimen, Muhyiddin berkata, beliau menghormati pandangan tokoh tersebut yang pernah berada lama dalam kerajaan.

“Bila Tun Daim kata tak dapat dua pertiga, maka kita kena cubalah. Langkah kita bukan hanya selesaikan itu, tetapi menjelaskan pembohongan dan bidaah pembangkang. Itu pun peranan kita untuk jelaskan, tapi perlu dipertingkatkan program penerangan,” ujarnya.

Mengenai peluang BN mempertahankan Perak, Muhyiddin berkata, secara relatif jika dibandingkan pada pilihan raya umum lalu, sokongan rakyat terhadap kerajaan di negeri ini sudah semakin pulih ekoran pelbagai perubahan dilaksanakan sama ada di peringkat pusat dan negeri.

“Sikap pengundi-pengundi kita yang dulu agak tidak menyebelahi kita, kini mula menunjukkan tanda lebih positif. Mereka lihat kesungguhan BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turun ke bawah menyelesaikan masalah rakyat.

“Begitu juga dengan kesungguhan Menteri Besar, pada saya perubahan ini memberi satu harapan yang lebih pada kita bukan sahaja untuk mempertahankan kedudukan, tetapi menebus kekalahan di kerusi yang kita kalah dengan majoriti kecil,” jelasnya.

Menjawab soalan mengenai tahap sokongan kaum Cina, Muhyiddin menjelaskan, pelbagai pendekatan yang dibuat kerajaan berjaya meningkatkan sokongan kaum itu kepada kerajaan berbanding dua tahun lalu.

“Ada kawasan bertambah baik dan ada kawasan yang tunjukkan peningkatan, berapa peratus (peningkatan), kita tidak dapat jelaskan tetapi adalah satu kesilapan besar kalau BN kata kita diskaun pengundi Cina.

“Kita perlukan sokongan Cina macam juga kaum lain. Bila kita mula bercakap dan menjelaskan perkara yang mereka tidak faham (kerana) dieksploitasi pembangkang, saya lihat ada penerimaan tetapi kita harap dalam tempoh ke hadapan ini, mereka lebih tahu perkara sebenar,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment