My Add

Sunday 19 February 2012

BR1M bukan rasuah tapi bantuan untuk rakyat

KLANG, SABTU, 18 Februari, 2012: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak melihat pemberian bantuan wang tunai RM500 itu sebagai rasuah seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebaliknya ia merupakan pertolongan kepada mereka yang memerlukan.

Kwan Kok Cheong, 54, seorang pesara berkata, dakwaan rasuah adalah tidak wajar kerana BR1M merupakan bantuan kepada mereka yang susah untuk membeli barangan keperluan untuk seisi keluarga.

"Kita tahu kerajaan banyak beri bantuan seperti subsidi, jadi sekali-sekala bila bagi wang tunai ini sangat baik. Kita faham dan bantuan seperti ini tidak perlu selalu dalam dua hingga tiga tahun sekali sudah memadai," katanya ketika ditemui selepas menerima BR1M di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di sini hari ini.

Beliau berkata, BR1M adalah hasil negara yang dipulangkan semula oleh kerajaan kepada rakyat untuk dikongsi bersama-sama.

Khusrin Rahmat, 68, bekas anggota Pas berkata, tuduhan kononnya kerajaan memberikan rasuah menerusi BR1M adalah tidak masuk akal kerana ia merupakan satu cara memulangkan semula hak rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan.

"Apa yang penting niat, pemberian ini untuk membantu mereka yang susah jadi ia merupakan satu transformasi yang baik oleh BN. Saya rasa BN patut buat lebih banyak program seperti ini dan memastikan wakil rakyat melawat kawasan," katanya.

Pendapat sama turut dikongsi oleh L.Saravanan, 33, yang berkata, BR1M adalah satu bantuan yang sangat diharapkan oleh rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kos hidup pada hari ini sangat tinggi, bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh orang seperti saya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment