My Add

Tuesday 14 February 2012

Bukan 'syurga' pengganas

Oleh ABD. HALIM HADI TALIB

KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Februari, 2012: Malaysia bukanlah sebuah negara transit dan persembunyian bagi mereka yang terlibat dengan jenayah, keganasan atau mana-mana individu yang dikehendaki oleh negara asal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan individu yang terlibat di dalam aktiviti jenayah untuk beroperasi atau bernaung dengan bebas di negara ini.

"Kena fikir dua tiga kali, jangan anggap Malaysia negara transit yang selamat untuk melakukan jenayah. Jangan anggap individu seperti ini boleh keluar masuk negara ini sesuka hati.

"Ini tindakan yang bertepatan dengan landskap keselamatan negara ketika ini kerana ada tuduhan negara ini menjadi 'syurga' penjenayah antarabangsa, keganasan dan transit penyeludupan manusia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Prinsip Kepolisan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan kerajaan menghantar semula kolumnis akhbar Arab Saudi, Mohammad Najeeb A. Kashgari yang dikehendaki oleh kerajaan negara itu kerana didakwa menghina Nabi Muhammad SAW melalui Twitternya.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar.

Hishammuddin berkata, penghantaran itu dibuat atas permintaan kerajaan Arab Saudi demi kepentingan hubungan dua hala antara pihak berkuasa di kedua-dua negara.

"Ini bukan perkara baru, akta yang kita gunakan ini tidak berkisar pada akta keganasan bahkan Akta Imigresen pun boleh kita gunakan," katanya.

Sementara itu, beliau menafikan pihaknya menerima perintah mahkamah yang menghalang penghantaran lelaki tersebut ke negara asalnya.

Pada perkembangan lain, Hishammuddin menegaskan kerajaan akan terus berusaha meningkatkan tahap rasa selamat di kalangan orang ramai walaupun indeks jenayah negara secara keseluruhannya mencatatkan penurunan.

"Kita sasarkan 50 peratus pengurangan dalam konteks kebimbangan terhadap jenayah, tapi yang dicapai 52.7 peratus iaitu kurang kira-kira dua peratus," katanya.

Hishammuddin berkata, walaupun laporan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 2011 menunjukkan penurunan sebanyak 11.1 peratus pada keseluruhan indeks jenayah dan 39.7 peratus penurunan jenayah jalanan, sebahagian masyarakat masih berasa tidak selamat.

Menurutnya, salah satu daripada penyumbang kebimbangan itu adalah kekurangan kesedaran umum terhadap usaha berterusan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Hishammuddin turut memberitahu, laporan NKRA menunjukkan indeks kepuasan orang ramai mengambil kira perkhidmatan barisan polis meningkat kepada 70.5 peratus melebihi 60 peratus yang disasarkan.

"Pencapaian ini juga dilihat dalam usaha untuk memperbaiki proses keadilan jenayah dengan meningkatkan bilangan tangkapan yang dihadapkan ke mahkamah di mana kita mencapai 23.5 peratus berbanding sasaran 20 peratus," katanya.

"Kalau perkara ini tidak berlaku jangan pula bawa cerita, ia satu fakta yang mengelirukan dan menimbulkan emosi.

"Saya pasti tiada injuksi. Dalam Internet mereka kata ada injuksi. Kononnya penghantaran semula dibuat atas permintaan Interpol.

"Kita akur sekiranya ada mahkamah mengeluarkan perintah. Saya tak pernah lari dari tanggungjawab untuk menunaikan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak membuat andaian tindakan penghantaran semula itu akan menyebabkan Hamza Kashgari dikenakan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Tuduhan bahawa beliau akan dibunuh, didera dan sebagainya tidak masuk akal. Jangan buat andaian sendiri.

"Tuduhan seperti itu adalah tuduhan yang serius terhadap Arab Saudi. Jangan campur adukkan politik Malaysia dengan Arab Saudi," tegas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment