My Add

Friday 17 February 2012

Cerita gempar, tapi dusta

JUMAAT, 17 Februari, 2012
SAYA masih ingat...cerita gempar orang mati lapar di Baling, Kedah pada akhir tahun 1974. 

Cerita orang mati kebuluran di Baling ini menggemparkan negara diikuti dengan tunjuk perasaan pelajar-pelajar institusi pelajaran tinggi di Kuala Lumpur. 

Tunjuk persaan pelajar itu diketuai oleh Anwar Ibrahim (Datuk Seri) dari ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia). 

Kemudian menjalar pula tunjuk perasaan penoreh-penoreh getah di Baling sendiri dihadapan Menteri Perusahaan Utama ketika itu, Datuk Musa Hitam (Tun). 

Walaupun tidak ke Baling, namun saya diberi tugas mengikuti perkembangan berkaitan.

Menurut rakan pemberita yang dihantar ke sana, mereka mendapati bukan sahaja ramai orang mempercayai cerita ini, malah pengganas komunis dalam hutan pun turut percaya. 

Saudara Zainuddin Maidin (Zam, Tan Sri), pernah bercerita, pengganas komunos percaya cerita itu sehingga mereka berani keluar dengan memakai uniform dan bersenjata untuk memberikan bantuan perubatan kepada orang kampung. 

Kata Zam, pengganas komunis yakin orang kampung yang sedang menderita pasti akan menyambut mereka dengan baik. 

Samani Amin (Allahyarham), Pengarang Berita, Berita Harian memberi kepercayaan kepada saya membuat liputann pelajar-pelajar Universiti Malaya dan institusi pengajian tinggi lain yang mengadakan tunjuk perasaan secara haram di Padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung Bharu. 

Rakan pemberita lain ‘cover’ tunjuk persaan di kawasan Masjid Negara Kuala Lumpur. 

Saya diberitahu oleh jurucakap penganjur tunjuk perasaan, mereka bertindak demikian bagi menyatakan simpati terhadap penoreh getah di Baling yang menghadapi kejatuhan harga getah. 

Mereka mendakwa ada penoreh yang mati kebuluran. 

Jika tidak silap, polis terpaksa bertindak menahan kepala tunjuk perasaan itu, Anwar Ibrahim dan Idris Sanusi pada 14 Disember 1974 di bawah ISA. 

Menurut satu kenyataan polis, Anwar ditahan "bukan kerana dia pemimpin ABIM tetapi kerana menghasut pelajar- pelajar mengadakan demonstrasi haram,". 

Saya perhatikan dalam tunjuk perasaan itu pelajar pelajar telah membaling batu dan memaki hamun polis sebagai anjing dan barua kerajaan. 

Dr. Mahathir bin Mohamad (Tun), Menteri Pelajaran ketika itu pernah mencabar pemimpin-pemimpin pelajar supaya memberikan nama orang yang didakwa sebagai mati lapar dan Perdana Menteri Tun Abdul Razak (Allahyarham) mensifatkannya sebagai cerita dusta. 

Dr. Mahathir pernah memberitahu saya semasa kami minum di Kafeteria Parlimen..." manusia tak akan mati kalau dapat minum air, melainkan kehendak Allah,” 

Begitulah kepintaran dan kecekapan seorang hamba Allah mengeksploitasi isu yang kecil menjadi besar, yang karut menjadi benar dan bermacam-macam lagi. 

1 comment:

  1. Memang benar berlaku kematian pd waktu itu. 2 kanak dari satu keluarga. Mereka kelaparan. Wang tiada utk membeli makanan.Bapanya masuk ke hutan mencari ubi gadung u. Memberi anak2nya makan ubi gadung. 2 anaknya mati krn ubi gadung beracun. Saya berada di tengah-tengah petani yg berdemo pd tahun 1974.

    ReplyDelete