My Add

Monday 20 February 2012

Ekonomi Malaysia terus berkembang

JOHOR BAHARU, AHAD, 19 Februari, 2012: Ekonomi Malaysia dijangka meneruskan momentumnya untuk berkembang melebihi kadar lima peratus pada tahun ini walaupun berhadapan dengan cabaran situasi ekonomi dunia yang tidak menentu, kata Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

Setiausaha Agungnya, Datuk Syed Hussien Al-Habshee berkata, pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan membantu kerajaan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

“Pelaksanaan projek-projek di bawah ETP tahun ini akan merangsang ekonomi negara untuk terus ke depan dan mengekalkan pertumbuhannya melebihi kadar lima peratus pada tahun ini.

“Keyakinan sektor perniagaan dan pengguna terhadap ekonomi negara tahun ini akan terus tinggi,” kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

Syed Hussien yang merupakan bekas Duta Besar Malaysia ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya mengemudi ekonomi Malaysia dengan baik.

“Walaupun berdepan dengan cabaran getir berikutan masalah kewangan zon Eropah dan ketidaktentuan di pasaran Amerika Syarikat, kerajaan telah berjaya mentadbir ekonomi Malaysia dengan baik,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment