My Add

Monday 13 February 2012

IBM perkenal sistem keselamatan awam lebih bijak

PETALING JAYA, ISNIN, 13 Februari, 2012: Syarikat sistem komputer terkenal, IBM Malaysia Sdn. Bhd. memperkenalkan sistem analisis jenayah yang komprehensif dinamakan Sistem Keselamatan Awam Lebih Bijak bagi memudahkan polis merancang tindakan pencegahan jenayah.

Ketua Teknologi IBM Malaysia, Azri Razif Yahaya berkata, IBM mempunyai kepakaran dalam menganalisa data yang ada di dalam dunia siber untuk mencari dan mengesan sebarang insiden seperti jenayah berkemungkinan akan berlaku.

"Maklumat itu boleh diperolehi daripada twitter, facebook, laman chat dan pelbagai lagi maklumat yang diperolehi di alam siber.

"Ia termasuk maklumat diperolehi daripada rakaman kamera litar tertutup dengan menggabungkan kesemua maklumat tersedia itu dan menilai keadaan semasa pada waktu sebenar sama ada untuk menempatkan polis di kawasan yang berkemungkinan berlaku jenayah,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk, “Membanteras Jenayah Melalui Analitik Kemajuan” pada seminar antarabangsa, “Dasar Kepolisan, Perundangan, Ketenteraman Awam dan Kemajuan Berkekalan” yang berlangsung selama dua hari, di sini hari ini.

Azri Razif berkata, sistem itu amat berguna bagi polis menilai tahap keseriusan jenayah di kawasan-kawasan yang tinggi jenayah indeksnya, selain ia memberikan polis peluang untuk menggerakkan anggotanya di kawasan yang memerlukan kehadiran polis.

Beliau berkata melalui sistem itu IBM turut mempunyai penganalisa maklumat untuk menilai segala maklumat untuk kemudahan polis membanteras jenayah.

"Sistem itu kini turut diguna pakai oleh polis di New York bagi menjaga keselamatan bandaraya itu dan ia lebih berkesan dalam membantu polis mengenal pasti dan mendapatkan maklumat berhubung kejadian jenayah,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment