My Add

Tuesday 7 February 2012

Kementerian peruntuk RM41 juta laksana projek rakyat

KUNAK, ISNIN, 06 Februari, 2012: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan kira-kira RM41 juta bagi melaksana pelbagai projek infrastruktur asas termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya di daerah Kunak sejak tahun lalu, kata Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beliau berkata, kebanyakan projek mesra rakyat berkenaan kini dalam pembinaan namun ada antaranya sudah siap dan hampir siap sementara yang lainnya masih pada tahap perancangan.

"Projek-projek ini mula dilaksanakan sejak tahun lalu dan pembinaannya akan diteruskan," katanya kepada pemberita pada program Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini.

Menurut Shafie, antara projek jalan luar bandar di Kunak yang sudah siap pembinaannya ialah Jalan Ulu Madai sepanjang dua kilometer dan kerja menaik taraf Jalan Getah Pangi sepanjang 1.25 kilometer dengan kos masing-masing berjumlah RM2.5 juta dan RM1.8 juta.

Tiga lagi projek yang masih dalam pelaksanaan ujar beliau ialah pembinaan Jalan Tun Fuad sejauh 17 kilometer bernilai RM7.69 juta, Jalan Dasar Baru sepanjang 2.5 kilometer dan Jalan Selamat sepanjang dua kilometer.

Katanya, pembinaan Jalan Dasar Baru dan Jalan Selamat menghadapi kelewatan berbanding jadual asalnya kerana masalah pengambilan tanah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment