My Add

Friday 24 February 2012

Menteri mahu kes rasuah bola sepak didedahkan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, mahu lebih banyak kes berkaitan rasuah dan mengatur perlawanan bola sepak didedahkan bagi membendung kegiatan itu. 

"Ini (rasuah) boleh menghancurkan industri bola sepak itu sendiri. Saya harap lebih banyak pendedahan dibuat dan apa yang penting keyakinan orang ramai terhadap bola sepak negara tidak luntur," katanya selepas merasmikan majlis prapelancaran Ekspo Industri Sukan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penggantungan enam pemain skuad Piala Presiden Johor FC yang disyaki terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Ahmad Shabery yang mengakui terkejut dengan laporan itu, turut memuji tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat kes berkenaan selain bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Enam pemain Johor FC digantung serta merta semalam selepas kelab itu mendapati terdapat unsur mengatur perlawanan pada pertemuan mereka menentang Perlis di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru Khamis lalu. 

Perlawanan itu menyaksikan Johor FC menewaskan Perlis 3-0, satu-satunya kemenangan selepas mereka tewas kepada Perak 0-2, Angkatan Tentera Malaysia 0-1 dan Majlis Perbandaran Muar 0-1. 

Skuad itu tewas sekali lagi ketika menentang Terengganu 1-3 selepas mencatat kemenangan ke atas Perlis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment