My Add

Sunday 12 February 2012

Misi memecah kepungan Israel

MUKADIMAH
KEJAYAAN Viva Palestina yang dengan berani bertindak menongkah arus melalui usahanya membawa pelbagai bentuk bantuan menerusi konvoi ratusan kenderaan memasuki Gaza ternyata membuka mata banyak pihak.
Viva Palestina yang ditubuhkan pada 2009 adalah satu usaha murni oleh pengasasnya, George Galloway, yang tidak mampu lagi melihat kesengsaraan berterusan warga Palestin di Tebing Gaza yang diserang segenap penjuru oleh tentera Israel.
Galloway, 58, bukan sebarangan orang, beliau pernah menjadi ahli Parlimen Britain dari tahun 1987 hingga 2010. Beliau pernah menjadi ahli Parlimen untuk Parti Buruh sebelum disingkirkan pada 2003 kerana menentang perang di Iraq.
Dalam pertemuan bersama beliau baru-baru ini, Galloway menegaskan kepada wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid bahawa usaha menyingkirkan Yahudi Zionis dari Palestin boleh dicapai sekiranya semua pihak benar-benar bersatu hati dalam isu Palestin.
MINGGUAN: Bagaimana anda mendapat ilham menubuhkan Viva Palestina?

GALLOWAY: Saya telah terlibat dalam perjuangan membebaskan Palestin sejak 1975. Saya telah melakukan pelbagai perkara untuk menunjukkan betapa rakyat Palestin ini sangat memerlukan pembelaan. Namun setelah sekian lama, saya akui penubuhan Viva Palestina adalah satu perkara yang paling hebat pernah berlaku dalam hidup saya. Bagi saya, pedoman yang saya pegang selama ini adalah, tindak tanduk kita perlu lebih lantang. Jangan hanya bercakap kosong. Pertubuhan ini merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan di Britain pada Januari 2009 bertujuan membantu menghantar bantuan kemanusiaan melalui konvoi ke Tebing Gaza.

Keadaan ketika itu di Tebing Gaza hampir musnah akibat serangan berterusan tentera Zionis yang sekali gus menyukarkan kehidupan rakyat di sana. Selepas lebih sebulan pertubuhan dilancar, kami berjaya mengumpulkan lebih sejuta Pound (RM4.7 juta). Pihak kami juga berjaya mengumpulkan ratusan sukarelawan yang bersedia untuk menyertai konvoi pertama ke bumi Palestin. Alhamdulillah, lebih kurang 110 kenderaan dengan lebih 500 sukarelawan mahu menyertai kami dalam konvoi itu yang jarak perjalanan adalah sejauh lebih 5,000 kilometer merentasi negara seperti Belgium, Perancis, Sepanyol, Maghribi, Algeria, Tunisia, Libya dan Mesir.

Setelah menempuh perjalanan berliku dan mencabar, kami tiba di Tebing Gaza melalui Rafah pada 9 Mac 2009 dengan disertai 180 lori bantuan yang didermakan oleh pemimpin Libya ketika itu, Muammar Gaddafi dan sebuah pertubuhan lain, The International Organization for Peace, Care and Relief (IOPCR ). Tidak semua bantuan yang kami bawa dibenarkan masuk namun bagi saya, konvoi itu yang diketuai Kevin Ovenden sangat berjaya dalam misinya. Apabila kami balik ke London, rombongan ini menerima sambutan meriah daripada pihak yang menyokong perjuangan kami. Kini Viva Palestina semakin berkembang di seluruh dunia dengan 16 negara sudah menubuhkannya.

Bagaimana dengan perkembangan Viva Palestina di Malaysia?

GALLOWAY: Kami baru membuka cawangan di Indonesia dan mengenai Viva Palestina Malaysia, ia telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan menjadi sesuatu yang membanggakan saya. Mungkin selepas ini ia akan terus berkembang ke seluruh dunia bagi menunjukkan bahawa rakyat dunia bersatu menentang kekejaman Yahudi Zionis terhadap rakyat Palestin.

Saya juga terharu atas kesungguhan pihak Viva Palestina Malaysia yang begitu aktif dalam memperjuangkan penderitaan rakyat Palestin selain kagum melihat usaha bersungguh-sungguh mereka melancarkan Festival Filem Palestin Kuala Lumpur. Saya berharap usaha keras dan tidak mengenal jemu oleh pihak Viva Palestina Malaysia ini akan dijadikan contoh oleh ahli pertubuhan ini di negara lain. Bagi saya, ia umpama kegembiraan melihat anak yang berjaya mendapat ijazahnya pada hari konvokesyen mereka.

Bagaimana anda melihat sokongan yang diberikan oleh rakyat negara ini terhadap rakyat Palestin?

GALLOWAY: Saya sememangnya kagum dengan semangat yang ditunjukkan rakyat negara ini dalam usaha mereka menyokong rakyat Palestin yang ditindas oleh tentera Israel. Saya mengenali rapat Dr. Mahathir Mohamad dan bekerjasama dengan beliau dalam projek bantuan terhadap Palestin sejak sekian lama.

Rekod beliau dalam membantu Palestin sangat-sangat membanggakan dan saya mahu mengucapkan terima kasih terhadap beliau atas jasa-jasanya. Selain itu saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan pihak pembangkang atas kerjasama yang diberikan.

Bagaimana anda melihat keganasan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin sejak sekian lama?

GALLOWAY: Apa yang berlaku di Palestin ini adalah umpama kisah penjajahan yang dilakukan oleh Barat termasuk Britain satu ketika dahulu. Anda maklum bahawa negara anda pernah dijajah Britain dan itu yang berlaku di Palestin bilamana mereka dijajah pula oleh Yahudi Zionis.

Dalam hal Palestin, Israel telah menggunakan pengaruh Barat untuk menjajah negara itu dan menghalau penduduk asal. Apa yang berlaku ini kita boleh katakan sebagai satu rompakan yang bernilai berbilion-bilion ringgit seperti mana filem Ocean Eleven tetapi nilainya beribu kali ganda. Bila mereka ini mencuri tanah Masjid Al Aqsa, gereja yang telah menjadi tempat ibadat penganut Kristian sejak sekian lama dan pelbagai lagi pastinya sangat menyedihkan melihat pencuri sebegini hanya dibiarkan pergi begitu sahaja tanpa sebarang perbicaraan yang adil. Jika keadaan ini (di Palestin) berterusan, tidak ada pihak yang boleh memperkatakan atau menjamin keselamatan Palestin kerana hakikatnya tidak akan ada keselamatan selagi tentera Zionis kekal di sana.

Bersandar kepada apa yang telah kami lakukan selama ini, ia bukan sekadar membantu dengan memberi makanan, perubatan dan sebagainya tetapi masyarakat dunia melihat usaha bersungguh-sungguh kami dalam membantu menghancurkan kepungan Israel terhadap Palestin. Itu sebabnya kami menggunakan kaedah menghantar konvoi bantuan ke Palestin sejak awal penubuhan lagi untuk menunjukkan bahawa kepungan oleh tentera Israel ini boleh dihapuskan. Tidak lama lagi kami akan memulakan usaha Viva Palestina 6 dan yang pasti, ia akan dilakukan berterusan untuk memberi isyarat bahawa kami tidak akan berputus asa.

Anda tahu usaha yang dilakukan ini bukan satu perkara popular di negara anda tetapi masih tetap mahu melakukannya. Tidakkah anda pernah menerima sebarang ancaman atau sebagainya?

GALLOWAY: Memang ia adalah satu perkara yang tidak popular malah saya pernah menerima ancaman mahupun ditawarkan habuan. Ada antara mereka di dalam Parti Buruh yang pernah menyatakan saya mungkin boleh menjadi Menteri Luar mahupun Perdana Menteri jika tidak keterlaluan menyokong Palestin. Namun terus terang saya katakan bukan jawatan atau pangkat yang saya idamkan jauh sekali harta dan wang ringgit. Saya mahu kongsikan satu perkara di sini. Tengah malam tadi saya berjalan di sekitar Kuala Lumpur yang terletak ribuan kilometer dari negara asal saya.

Namun yang mengharukan, saya telah ditahan lebih kurang 20 kali oleh mereka yang saya tidak kenali yang mahu merakamkan gambar, bersalaman mahupun mencium pipi saya oleh orang tempatan mahupun warga Arab yang berada di sini. Bagi saya, penghargaan yang saya terima ini jauh lebih bermakna daripada wang mahupun kuasa. Malah ia berlaku bukan di negara sendiri. Saya sangat berpuas hati dengan pengorbanan yang sedikit ini kerana adalah jelas ia memberi kesedaran terhadap warga dunia tentang penderitaan warga Palestin selain usaha yang perlu dilakukan untuk membebaskan mereka daripada cengkaman Israel. Saya pasti usaha ini bukan satu perkara yang mustahil untuk dilakukan dan kita perlu bersatu dalam menunjukkan siapa musuh kita yang sebenarnya. - Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment