My Add

Wednesday, 8 February 2012

Mohon pertimbang sagu hati RM3,000

KUCHING, RABU, 08 Februari, 2012: Kerajaan hari ini diminta mempertimbangkan pemberian sagu hati RM3,000 kepada bekas tentera yang pernah berkhidmat pada zaman darurat dan konfrontasi seperti mana yang dinikmati bekas anggota polis.

Setiausaha Agung Protem Persatuan Renjer Sarawak Kapten (B) Mohd. Johari Ibrahim berkata, beliau mewakili 14,000 veteran tentera yang pernah berkhidmat pada era tersebut masih menunggu khabar gembira daripada kerajaan.

“Dulu ketika zaman konfrontasi dan darurat, kami sama-sama meredah sungai, tidur di hutan untuk menentang pengganas, sama juga seperti anggota polis, kenapa kami tidak layak untuk mendapat sagu hati RM3,000 itu,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya, perkara itu telah dipanjangkan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika Menteri Pertahanan tersebut melawat Sibu.

“Ketika ditemui di Sibu baru-baru ini (Datuk Seri) Ahmad Zahid sendiri berkata beliau akan membawa perkara itu untuk perhatian Perdana Menteri, tapi setakat hari ini belum ada apa-apa perkembangan baik untuk veteran tentera,” katanya.

Pemberian sagu hati untuk bekas anggota polis pada era darurat antara 1948 dan 1962 itu diumum Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2012.

Pembayaran itu akan dibuat kepada bekas anggota pasukan Special Constabulary (SC), Home Guard (HG), Auxiliary Police (AP), Extra Police Constable (EPC), Border Scout (BS), Jungle Scout /Squad (JS), Police Field Force Reservist (PFFR) dan Sarawak Constabulary (SWC). – BERNAMA

No comments:

Post a Comment