My Add

Sunday 19 February 2012

Perjuangan BN bukan hanya untuk kuasa politik: TPM

KUALA KANGSAR, AHAD, 19 Februari, 2012: Perjuangan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya umum akan datang bukan hanya untuk mendapatkan kuasa politik sebaliknya menunaikan amanah untuk rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata apa yang penting dalam BN adalah untuk memastikan pembangunan secara berterusan dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

"Bila pilihan raya kita perlukan kuasa politik, tetapi kuasa politik itu bukan pengakhiran, apa yang penting untuk kita adalah untuk membangunkan negara dengan lebih berkesan," katanya ketika berucap menutup Konvensyen UMNO negeri Perak 2012 di sini, hari ini.

Konvensyen sehari yang bermula pagi tadi dihadiri lebih 4,000 ahli UMNO peringkat cawangan dan bahagian.

Beliau berkata, BN bukan seperti parti pembangkang yang hanya bermatlamat untuk mendapat kuasa politik bagi menawan Putrajaya.

Muhyiddin berkata, seperti di Perak, rakyat merasai sendiri pentadbiran pembangkang selama 11 bulan yang sudah tentu memberi pengalaman pahit dan iktibar.

Beliau berkata, apa yang dilaksanakan di Perak berkaitan pembangunan negeri dan sosio-ekonomi tidak memenuhi cita rasa rakyat negeri ini.
Oleh yang demikian, Muhyiddin berkata ahli parti perlu bersatu, setia dan berkhidmat bagi memastikan rakyat terus memberikan mandat untuk BN terus menerajui kerajaan.

"Cabaran daripada pembangkang lebih daripada biasa. Pemimpin BN perlu sedar tentang cabaran itu kerana pilihan raya umum ke-13 akan menentukan corak masa depan politik negara," katanya.

Beliau berkata, anggota BN juga diminta bekerja keras untuk pilihan raya umum akan datang kerana ia akan menentukan sama ada BN terus mengekalkan kuasa di peringkat Persekutuan dan negeri bagi meneruskan agenda pembangunan dan transformasi.

"Kita perlu ingat dalam masa yang sama, pembangkang mengatur satu rencana untuk menuju ke Putrajaya bagi merampas kuasa dan mengambil alih pentadbiran negara daripada BN," katanya.

Muhyiddin berkata, anggota BN perlu terus berjuang dan menjadi satu ketumbukan utama sebagai 'tentera BN' pada pilihan raya umum akan datang.

"Masa tidak begitu banyak lagi, kita mahu lihat kemenangan berada di pihak BN. Kita tidak akan berhenti untuk terus bekerja dan beri sumbangan kepada rakyat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, anggota BN perlu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul di dalam parti dengan segera.

Mengenai konvensyen itu, Muhyiddin berkata ia memberi ruang dan peluang kepada ahli UMNO untuk menyuarakan pendapat mengenai bagaimana BN dan UMNO memperoleh kemenangan pada pilihan raya umum akan datang. --BERNAMA 

No comments:

Post a Comment