My Add

Saturday 18 February 2012

Rampas balik kawasan Parlimen pembangkang

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Bahagian Batu bagi meninjau gerak kerja parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pertemuan selama sejam itu turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ia merupakan sebahagian daripada jadual lawatan beliau ke kawasan-kawasan di Wilayah Persekutuan.

Muhyiddin selaku Pengerusi BN Wilayah Persekutuan sebelum ini melawat beberapa kawasan termasuk Titiwangsa dan Bandar Tun Razak.

Sementara itu, Pengerusi Biro Penerangan BN Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Shafei Abdullah ketika ditemui selepas pertemuan tertutup itu berkata, Muhyiddin menyarankan pemimpin dan jentera parti supaya bekerja kuat untuk memastikan BN merampas kawasan Parlimen yang dikuasai pembangkang.

"Beliau turut berbincang dan mendengar taklimat mengenai status gerak kerja parti. Saranan beliau cukup jelas agar semua bekerja dengan kuat.

"Pertemuan itu adalah rutin beliau ke semua bahagian di Wilayah Persekutuan. Pada 2 Mac nanti, beliau akan ke Wangsa Maju dan Setiawangsa pula," katanya.

Kata beliau, dalam pertemuan tersebut, Muhyiddin bagaimanapun tidak membincangkan soal calon yang akan diketengahkan untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti bagi Parlimen Batu.

"Soal calon tidak dibincangkan. Itu belum ada lagi," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment