My Add

Wednesday, 8 February 2012

Ribut: 23 rumah rosak

SERPIHAN zink dan kayu bumbung bertaburan di halaman Pangsapuri Teratai di Bukit Subang, Subang Jaya akibat dipukul ribut kencang dan hujan lebat semalam.  – UTUSAN/AMRUL YUSOF
Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS

SUBANG JAYA, RABU, 08 Februari, 2012: Sebanyak 23 unit rumah di beberapa buah pangsapuri di Bukit Subang di sini mengalami kerosakan termasuk sembilan daripadanya tercabut bumbung akibat diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut petang semalam.

Sembilan unit itu melibatkan Pangsapuri Teratai setinggi lima tingkat yang bumbungnya melayang sejauh 100 meter sehingga ke Pangsapuri Melor yang terletak bersebelahan, dalam insiden kira-kira pukul 4 petang itu.

Unit-unit kediaman di pangsapuri lain hanya mengalami kerosakan kecil. Tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan.

Kejadian yang berlaku selama 10 minit itu menyebabkan 100 penghuni terjejas dan kerugian harta benda termasuk ada beberapa kenderaan remuk dihempap bumbung dan pokok-pokok tumbang.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin yang meluangkan masa melawat mangsa meminta mereka yang terlibat membuat laporan polis dan mendaftar nama serta jumlah kerosakan masing-masing.

“Buat sementara waktu, kesemua mangsa bencana akan ditempatkan di surau pangsapuri-pangsapuri terlibat sementara bantuan disalurkan.

“Kami akan melihat bentuk bantuan yang diperlukan termasuk perlindungan insurans dan tabung bencana,” katanya.

Sementara itu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun nyaris dihempap bumbung rumahnya di Pangsapuri Teratai yang tercabut.

Namun ibunya yang sarat mengandung sembilan bulan sempat mendukung anaknya, Muhammad Hadith Al Baini Mohd. Hanafiah, keluar dari bilik.

Menurut Roshidah Daud, 36, dia sedang tidur di dalam bilik namun dikejutkan anak sulungnya yang berusia sembilan tahun yang memaklumkan hujan memasuki rumahnya.

“Dalam keadaan cemas itu, saya hanya fikirkan keselamatan anak-anak. Saya dukung Muhammad Hadith dan dalam beberapa saat bumbung terhempas ke katilnya.

“Seorang jiran datang membantu mengeluarkan kami anak-beranak dari rumah sebelum keadaan bertambah teruk. Suami yang sedang bekerja terkejut menerima berita tersebut,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu bersyukur kerana terselamat dalam bencana itu walaupun kerugian harta benda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment