My Add

Sunday 12 February 2012

Sedia saman pemilik twitter


Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA BHARU, SABTU, 11 Februari, 2012: Pemilik butik, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, atau Leuniey yang didakwa menjalin hubungan dengan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek bersedia untuk menyaman pemilik laman sosial twitter, @MahSiH2 yang telah mencetuskan kontroversi tersebut.

Leuniey (gambar) ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini berkata, tindakan pemilik twitter tersebut telah memburukkan namanya dan keluarga kerana dia langsung tidak mempunyai hubungan istimewa dengan Apek yang juga selebriti sukan tanah air.

"Saya tidak tahu dan tidak kenal siapa pemilik twitter itu. Saya dan keluarga masih tercari-cari siapa dia dan kalau jumpa memang kami mahu saman kerana telah memburukkan nama saya dan keluarga.

"Memang secara peribadi pun saya tidak melenting dan tidak melayan sangat kerana semua benda itu tidak betul, tetapi takkanlah apabila dia sudah memburukkan nama macam itu, saya mahu mendiamkan diri pula," katanya.

Leuniey dalam satu sidang akhbar baru-baru ini menafikan dia mempunyai hubungan dengan Apek dan turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa tonggak utama pasukan bola sepak Kelantan itu menjadi punca dia memutuskan ikatan pertunangan dengan anak seorang usahawan batik di negeri ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita detikperubahan.com melaporkan Khairul Fahmi kini dikatakan asyik bercinta dengan gadis manis bernama Leuniey.

Kontroversi itu tercetus setelah pemilik laman sosial Twitter, @MahSiH2 mendakwa Apek yang merupakan seorang player telah memutuskan hubungan dengan kekasihnya sebelum ini, Dahlia Teck dan menjalin hubungan dengan seorang gadis bernama Leuniey.

Sementara itu, Leuniey sekali lagi menegaskan dia tidak pernah berkawan dengan Apek dan hanya bapanya, Nazri Adnan, 43, yang berhubung dengan penjaga gol itu kerana urusan perniagaan.

"Saya memang tidak berkawan dengan dia, cuma bapa saya ada bisnes yang berkaitan dengan kelab penyokong Apek, jadi saya tidak pernah terlibat.

"Cuma kalau pernah jumpa pun hanya berselisih dan ketika itu Apek datang bersama seorang pakcik saya ke rumah sebab ada urusan dan kebetulan pada waktu itu saya hendak keluar rumah untuk bersolek," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment