SHAH ALA, SELASA, 07 Februari, 2012: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengambil berat dengan spekulasi susulan laporan penahanan seorang lelaki oleh pihak berkuasa Indonesia yang dikaitkan dengan PKR dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri, Elizabeth Wong (gambar kiri).
Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri akan meneliti laporan media tersebut dan membuat tindakan susulan jika ia memberi implikasi kepada kerajaan, pemimpin dan pentadbiran negeri.
Serentak dengan itu, menurut kenyataan itu, perkara tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Biro Politik PKR Rabu ini dan sebarang keputusan akan diumumkan kepada rakyat dengan kadar segera.
‘‘Kerajaan negeri berpendirian bahawa adalah tidak beretika jika terdapat sebarang cubaan daripada pihak-pihak tertentu untuk menyalahgunakan isu ini bagi mempertikaikan kredibiliti seseorang individu.
‘‘Kerajaan negeri menyeru rakyat supaya tidak mengizinkan politik kotor dan serangan peribadi digunakan untuk mengalih pandangan terhadap agenda mentadbir negeri secara telus, berkesan dan efektif yang diterapkan dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” kata kenyataan itu di sini, demalam.
Kenyataan tersebut mengulas laporan beberapa media dipetik dari sebuah portal berita Indonesia yang menyiarkan berita penahanan seorang lelaki yang mendakwa sebagai anggota PKR oleh pihak berkuasa republik tersebut kerana memiliki dokumen palsu.
Portal berkenaan dalam laporannya Sabtu lalu menyatakan, rakyat Malaysia, yang dikenali sebagai ‘Azmin Helmi’, 37, ditahan oleh pegawai Imigresen Indonesia di Batam pada Jumaat lalu.
Lelaki tersebut yang dikesan mempunyai alamat di Ampang, Selangor dan dilahirkan pada 27 Mac 1975 dikatakan mempunyai kad pengenalan Indonesia dan kad keluarga yang palsu dikeluarkan di Batam selain kad kelahiran palsu daripada Karimun.
Imigresen Batam dilaporkan memberitahu media bahawa Azmin yang menyatakan dia adalah anggota PKR telah memasuki Indonesia dengan menggunakan pasport Malaysia melalui pelabuhan Tanjung Balai di Karimun pada 15 Februari 2009.
Dia dikatakan memberitahu pegawai penyiasatan bahawa dia telah menjelajah ke serata Indonesia, melawat Pekan Baru, Jakarta selain tinggal di Cengkareng, Cingkawang dan Pondok Kelapa melebihi 30 hari tempoh visanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment