My Add

Tuesday 14 February 2012

Tidak hantar forensik ke Jolo

SUBANG JAYA, ISNIN 13 Februari, 2012: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menghantar pakar forensik ke Filipina buat masa ini bagi membuktikan sama ada tiga suspek yang terbunuh dalam serangan udara tentera Filipina, pada 2 Februari lalu, merupakan pengganas yang paling dikehendaki di Asia Tenggara, Zulkifli Abdul Hir.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar menegaskan tiada keperluan untuk menghantar pasukan unit forensik ke negara itu kerana pihak berkuasa Filipina sehingga kini masih gagal menemui mayat ketiga-tiga suspek tersebut.

Beliau sehubungan itu menafikan laporan agensi berita asing baru-baru ini yang menyatakan pakar forensik PDRM akan dihantar ke Pulau Jolo untuk mengenal pasti mayat.

“Laporan itu (berita asing) adalah tidak benar. Jika kita hantar sekarang ia hanya sia-sia kerana polis Filipina sendiri tidak menemui mayat mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Prinsip Kepolisan di sebuah hotel di sini hari ini.

Jumaat lalu, agensi AFP melaporkan, Malaysia akan menghantar pakar forensik untuk membuktikan sama ada tiga suspek terbunuh dalam serangan udara tentera Filipina pada 2 Februari lalu adalah Zulkifli.

Jurucakap tentera Filipina, Kolonel Arnulfo Burgos berkata, pihak polis dapat mengumpulkan cebisan tisu manusia dan darah selepas serangan di pulau Jolo itu.

Katanya, polis Filipina akan bekerjasama dengan polis Malaysia untuk mencari bukti forensik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment