My Add

Friday 10 February 2012

Yayasan Taqwa nafi dakwaan Pemuda Pas

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Yayasan Taqwa menyifatkan dakwaan penggunaan dananya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai tohmahan jahat oleh pembangkang.

Sehubungan itu Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Ahmad Ayob Ibrahim hari ini menafi sekeras-kerasnya dakwaan Ketua Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dan Naib Ketua Pemudanya, Mohd Nasaie Ismail.

"Yayasan Taqwa tidak terbabit di dalam pemberian atau bantuan bumbung, Rumah Terbuka Hari Raya dan bantuan kepada anak muda seperti didakwa Mohd. Nasaie.

"Dakwaan terhadap Jamil Khir kononnya beliau membiayai bantuan mesin rumput dan pam racun kepada penduduk Jerai itu tidak benar sama sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pembangkang baru-baru ini menuduh Jamil Khir menggunakan peruntukan daripada yayasan tersebut untuk memberi bantuan kepada masyarakat di Jerai iaitu kawasan yang akan ditandingi beliau pada pilihan raya umum akan datang.

Ahmad Ayob berkata, segala butiran, jumlah perbelanjaan dan sumbangan yang dibangkitkan oleh pembangkang adalah dari sumber Laporan Tahunan MAIWP 2010 yang telah diaudit dan disahkan.

"Laporan audit itu telah dibuat dengan betul mengikut garis panduan, peraturan dan undang-undang negara yang sedia ada.

"Yayasan Taqwa diaudit oleh juru audit luar, juru audit Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Audit Negara serta mendapat pengiktirafan audit bersih sejak 2007 hingga sekarang," katanya.

Mengulas isu kos pentadbiran berjumlah RM2 juta yang didakwa berlebihan dan terlalu tinggi, beliau berkata, perbelanjaan dilakukan secara berhemah dengan segala butiran yang sah.

"Perbelanjaan itu meliputi pentadbiran dan pengurusan program serta aktiviti bagi tempoh setahun meliputi 24 pegawai, kakitangan, penceramah, guru, pensyarah dan sukarelawan.

"Itu juga termasuk bayaran sewa pejabat, utiliti, petrol, gaji, elaun tuntutan, penyelenggaraan, bil perubatan, takaful, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan sebagainya," katanya.

Menjelaskan pengurusan wang zakat bernilai RM800,000 yang didakwa tidak telus oleh pembangkang, beliau berkata, jumlah tersebut tidak dinyatakan di dalam Laporan Tahunan 2010 kerana dibawa ke tahun berikutnya (2011).

Menurutnya, sejak penubuhan, Yayasan Taqwa juga mengagihkan sumbernya dalam program bantuan kemasyarakatan di luar negara antaranya Kemboja, Vietnam, Selatan Thailand, Indonesia, Mesir, Palestin, Pakistan dan Lebanon.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak terbabit supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah sebelum membuat sebarang tuduhan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment