My Add

Monday 6 August 2012

1,000 berhimpun nyata penghargaan

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
KOTA BHARU, AHAD, 05 Ogos, 2012: Lebih 1,000 rakyat Kelantan membanjiri pekarangan Hotel Sutera Inn di sini bagi menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri yang berusaha menyelesaikan isu tuntutan royalti petroleum menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa khas mengkaji perkara tersebut.

Mereka juga berpendapat, penubuhan jawatankuasa itu adalah hasil kesungguhan dan pendekatan berhemah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam menyampaikan hasrat rakyat Kelantan kepada Kerajaan Pusat.

Sebagai tanda penghargaan ke atas usaha Mustapa, kumpulan terbabit telah memakaikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dengan tengkolok.

Kerajaan Pusat semalam bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil, telus dan saksama berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara serta wakil dari kerajaan negeri terbabit yang diperkenan sultan negeri-negeri berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian berkata, usaha melalui rundingan yang dilakukan Mustapa dengan kesungguhan dan keikhlasan, akhirnya telah membuahkan hasil.

“Kami Pemuda UMNO menyanjung tinggi usaha yang telah dibuat oleh beliau dan kita melihat perkara ini adalah yang dinanti-nantikan oleh rakyat Kelantan keseluruhannya," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pula berkata, pihaknya berharap usaha murni Kerajaan Pusat itu tidak disalahertikan oleh mana-mana pihak.

“Yang penting bagi kita ialah apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri itu memberi faedah kepada rakyat Kelantan tanpa mengira golongan mana sekali pun.

“Ia juga sejajar dengan gagasan yang dibawa oleh Perdana Menteri iaitu rakyat didahulukan. Kerajaan mendengar keluhan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, keputusan penubuhan jawatankuasa khas tersebut menunjukkan perbezaan antara berunding dan menuntut.

Dalam masa sama, beliau yakin, pendekatan yang diambil Najib akan membuka lembaran baru kepada rakyat Kelantan.

“Saya cukup yakin pendekatan Perdana Menteri ini membuktikan kerajaan cakna dan mendengar rintihan rakyat. Ini dibukti dan diterjemahkan Perdana Menteri dalam menyelesaikan isu royalti ini secara berhemah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment