My Add

Wednesday 15 August 2012

15 penerbit filem terima rebat duti hiburan, insentif RM10 juta

KUALA LUMPUR, RABU, 15 Ogos, 2012:: Seramai 15 penerbit filem tempatan hari ini menerima galakan kewangan melalui pulangan semula Rebat Duti Hiburan dan pembayaran Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) berjumlah RM9.8 juta.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Mohd Naguib Razak berkata daripada jumlah itu, seramai sembilan penerbit filem menerima pulangan Rebat Duti Hiburan berjumlah lebih RM7.2 juta manakala enam lagi menerima ITFC berjumlah hampir RM2.6 juta.

"Rebat dan insentif itu diberi kepada 38 filem yang telah sempurna tayangannya pada 2010 dan 2011 dan saya yakin langkah ini berjaya memantapkan aliran pusingan modal penerbit bagi penerbitan filem seterusnya.

"Ini tahun terakhir pemberian Rebat Duti Tahunan kerana selepas ini kita menggunakan skim ITFC sepenuhnya yang lebih relevan dan mampu kita tampung kosnya tetapi masih memacu industri perfileman," katanya kepada pemberita pada majlis itu di sini.

Rebat duti dan insentif itu disampaikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada majlis yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Produksi yang menerima rebat duti hiburan ialah Tayangan Unggul Sdn Bhd, Astro Shaw Sdn Bhd, Primeworks Studios Sdn Bhd, Skop Productions Sdn Bhd, KRU Studios Sdn Bhd, SDAF Pictures Sdn Bhd, Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd, Woohoo Pictures Sdn Bhd dan White Merpati Entertainment Sdn Bhd.

Skop Productions Sdn Bhd yang menghasilkan filem `Khurafat' dan `KL Gangster' menerima rebat duti tertinggi berjumlah lebih RM2.7 juta diikuti Primeworks Studios Sdn Bhd menerima RM1.48 juta bagi 11 filem yang dihasilkannya manakala Woohoo Pictures Sdn Bhd yang menghasilkan filem `Great Day' menerima RM1.26 juta.

Metrowealth Pictures Sdn Bhd, Excellent Pictures Sdn Bhd, Empat Samudra Plantation Sdn Bhd, De Baron Sdn Bhd, outLOUD Studios Sdn Bhd dan Cinematic Pictures Sdn Bhd pula menerima insentif.

Insentif paling tinggi berjumlah RM1.2 juta diterima Metrowealth Pictures Sdn Bhd diiikuti Excellent Pictures Sdn Bhd menerima RM500,000 dan outLOUD Studios Sdn Bhd menerima RM401,662.

Di bawah ITFC, filem tempatan yang diterbitkan selepas 2010 dan meraih kutipan tiket sehingga RM6 juta layak mendapat insentif itu dengan menggunakan kaedah keuntungan jualan tiket penerbit filem dalam menentukan jumlah bayaran insentif.

Skim baru itu diperkenalkan setelah mendapat persetujuan Kabinet pada 23 Februari tahun lalu bagi menggantikan skim pemulangan Duti Hiburan yang digunakan sejak 1 Januari 1987, yang dilihat tidak berkesan sejak 2000.

Dalam pada itu, Mohd Naguib berkata sebanyak 15 persatuan perfileman tempatan turut menerima sumbangan berjumlah RM95,000 sebagai bantuan perbelanjaan untuk menggerakkan aktiviti kesenian.

Antara persatuan berkenaan ialah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia, Persatuan Pekerja Filem Malaysia, Persatuan Karyawan Malaysia, Persatuan Artis Cina Malaysia, Persatuan Seni Pentas India, Persatuan Sutradara Malaysia dan Persatuan Animasi Malaysia yang menerima RM5,000 hingga RM10,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment