My Add

Friday 10 August 2012

92 polis bantuan ditempatkan di 3 syarikat mulai esok

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Ogos, 2012: Seramai 92 peserta kursus asas polis bantuan akan ditempatkan di tiga syarikat mulai esok selepas menamatkan kursus sembilan minggu di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.


Komandan PULAPOL, SAC Zulkifli Mohamed, berkata 59 orang akan ditempatkan sebagai anggota polis bantuan di Public Bank, 21 di Pavilion Kuala Lumpur dan selebihnya di Lembaga Tabung Haji.

Beliau berkata, dengan segala ilmu kepolisan yang dipelajari, kesemua pelatih itu bersedia daripada aspek fizikal dan mental melaksanakan tugas khususnya membantu polis mengurangkan risiko jenayah di lokasi mereka ditugaskan.

"Pengawalan, rondaan cegah jenayah khususnya di kawasan majikan oleh polis bantuan secara tidak langsung akan dapat membantu polis mengurangkan kadar jenayah di negara kita," katanya ketika menutup siri ketiga kursus itu, hari ini.

Sepanjang latihan selama sembilan minggu itu, pelatih didedahkan dengan pelbagai aspek latihan kepolisan seperti kawad, seni mempertahankan diri, menembak, latihan jasmani, undang-undang serta rondaan bagi meningkatkan kemahiran mereka.

Sementara itu, pelatih terbaik keseluruhan Afiq Aizat Mohd, 19, berkata kursus itu banyak mendedahkan beliau dengan keperluan asas bagaimana bertindak sekiranya sesuatu kejadian jenayah berlaku ketika bertugas.

"Saya tidak sangka muncul peserta terbaik keseluruhan kerana saya dapati ramai lagi pelatih yang lebih hebat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment