My Add

Thursday 9 August 2012

Ahmad Said ajak rakyat Terengganu pertahan kerajaan BN


KUALA TERENGGANU, khamis, 09 oGOS, 2012: Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada pada hari ini perlu dipertahankan kerana ia merupakan kerajaan yang mampu membela nasib rakyat, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata banyak jasa dan sumbangan telah diberikan kerajaan BN kepada rakyat selama ini.

"Kita sedia maklum bahawa selama ini parti PAS tidak pernah membuat apa-apa untuk membela nasib rakyat. Mereka hanya suka berjanji tetapi tidak ditepati.

"Saya harap rakyat tidak berbelah-bahagi menyokong kerajaan yang ada sekarang kerana sudah terbukti dengan segala kemudahan yang disediakan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama kira-kira 10,000 rakyat di kawasan
Parlimen Kuala Nerus di sini, hari ini.

Ahmad berkata kerajaan telah merancang pelbagai program seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia, memberi imbuhan kepada peneroka dan sebagainya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Mohamad Nasir Ibrahim Fikri berterima kasih kepada Perdana Menteri yang sudi meluangkan masa menghadiri majlis berbuka puasa itu.

Katanya kedatangan pemimpin nombor satu negara itu menyuntik semangat beliau untuk bekerja lebih kuat bagi menjadikan kawasan Kuala Nerus sebagai satu daerah baharu di Terengganu tidak lama lagi.

Mohamad Nasir berkata kerajaan Persekutuan telah banyak memberi bantuan kepada rakyat di kawasan itu seperti membina rumah melibatkan peruntukan
RM100,000 manakala sebanyak RM170,000 bagi bantuan kepada golongan miskin, ibu tunggal dan orang kelainan upaya.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus berjanji akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus serta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu iaitu Tepoh, Seberang Takir dan Teluk Pasu.

Di samping itu, beliau berkata Umno dan BN juga akan merampas kembali DUN Bukit Tunggal daripada PAS pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment