My Add

Friday 24 August 2012

Antilompat parti: Karpal mahu BN pinda Perlembagaan

   Karpal Singh
SHAH ALAM, JUMAAT, 24 Ogos, 2012: Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu Barisan Nasional (BN) meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang tindakan melompat parti membabitkan wakil rakyat dan berjanjiPakatan Rakyat (PR) akan memberi sokongan kepada Kerajaan Pusat.

Karpal berkata, Kerajaan Pusat pimpinan BN perlu mempertimbangkan langkah alternatif kepada keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membawa usul berkenaan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November ini.

"DUN Pulau Pinang boleh terus meminda perlembagaan negeri untuk menghalang (tindakan) lompat parti dan mengeluarkan kanser ini dari topografi politik negara. Lagi cepat lagi bagus.

"Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) boleh membawa perkara ini kepada Mahkamah Persekutuan, pengganti kepada Mahkamah Agung, mahkamah tertinggi di negara ini, untuk menyemak semula deklarasi 1992 dalam kes Nordin Salleh.

"Pada pandangan saya, keputusan ini memerlukan kajian semula demi kepentingan awam," kata beliau dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen veteran ini menambah, sebagai alternatif, penyelesain terbaik adalah BN membawa pindaan ke atas Artikel 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Sudah pasti, sokongan dua pertiga diperlukan bagi tujuan ini. Dalam hal ini, tiada masalah bagi Pakatan Rakyat untuk memberi sokongan kepada BN yang kurang (majoriti dua pertiga)," kata beliau lagi.

Dun Sabah pernah berbuat demikian tetapi diputuskan oleh mahkamah sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Karpal berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dikritik oleh pelbagai pihak mendakwa langkah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah benar pindaan Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan ultra vires dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Agung telah memutuskan begitu pada 1992.

"Bagaimanapun, ia tidak bermakna perkara itu berakhir di sana.

"Dun Pulau Pinang boleh meminda dan Kerajaan Negeri boleh membawa ke Mahkamah Persekutuan (untuk semakan)," kata beliau merujuk kepada laporan bahawa Kerajaan Negeri Pulau
Pinang bercadang menggubal undang-undang antilompat parti bagi mengekang tindakan wakil rakyat daripada mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket parti.

Guan Eng berkata, cadangan itu akan dibincangkan adalah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan itu dengan mendapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang Kerajaan Negeri.

Guan Eng berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Negeri tetapi Mahkamah Agung memutusan undang-undang itu tidak sah kerana ia melanggar hak kebebasan yang dijamin dalam Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

"Kini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang cuba meluluskan undang-undang ini supaya Mahkamah Persekutuan boleh menyemak semula undang-undang dalam hal ini," katanya.

Sebelum ini, Karpal menegaskan, tindakan 'lompat parti' ialah satu perbuatan khianat kepada pengundi yang memilih calon mereka daripada sesebuah parti tertentu.

Menurutnya, DAP sentiasa menentang tindakan melompat parti yang dipandang serius kerana ia adalah tindakan pengkhianatan dilakukan oleh anggota Parlimen atau Dun yang dipilih rakyat.

No comments:

Post a Comment