My Add

Friday 24 August 2012

Saifuddin masih yakin PM pinda Seksyen 114A

    Saifuddin Abdullah
SHAH ALAM, JUMAAT, 24 Ogos, 2012: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berharap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak akan tetap meminda Seksyen 114A Akta Keterangan yang mencetuskan kebimbangan di kalangan segelintir rakyat negara ini.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini berkata, beliau akan cuba meyakinkan Perdana Menteri agar mengambil langkah supaya dipinda untuk membawa penambahbaikan yang diharapkan.

"Ini pendirian kerajaan pada hari ini. Pada masa yang sama, banyak pihak meminta ia dikaji semula dan dipinda supaya ia ditambah baik.

"Saya harap ia akan dikaji semula seperti yang pernah kita lakukan dalam beberapa undang-undang, contohnya Akta Universiti dan Kolej Universiti.

"Saya akan terus meyakinkan ketua-ketua saya untuk memindanya semula," kata beliau dalam satu kenyataan SMS kepada Sinar Harian Online, mengulas perkembangan terbaru berkenaan dengan polemik yang menyelubungi isu Seksyen 114A Akta Keterangan.

Saifuddin, Ahli Parlimen Temerloh, antara pemimpin BN yang pernah meminta agar Seksyen 114A dikaji semula menambah, "kita boleh melihat pengalaman negara lain yang juga mempunyai undang-undang untuk melindungi pengguna Internet."

"Contohnya, Internet Bill of Guarantee di Brazil. Apa yng penting ialah memastikan keselamatan pengguna dilindungi dengan tidak berlawanan dengan prinsip-prinsip keadilan sejagat, kebebasan bersuara dan demokrasi yang matang dan progresif," kata beliau lagi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) 1950 yang dibentangkan di Parlimen pada April lalu akan terus kekal berikutan ia memberi kepentingan untuk melindungi rakyat.

Nazri berkata, ini kerana akta tersebut dapat mengurus negara dengan baik selain menentang sebarang cubaan pihak tertentu yang mahu merosakkan negara.

Katanya, beliau tidak boleh memperkecilkan sokongan yang diberikan oleh rakyat dan berhak mewakili rakyat yang telah memilih beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata tiada keperluan untuk mengkaji semula pindaan akta terbabit.

Menurutnya, perkara itu juga tidak mendapat tentangan daripada pihak pembangkang ketika pindaan akta tersebut dibahaskan di Parlimen.

Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan yang dibuat terhadap Akta Keterangan yang digazetkan Julai lepas, dan ia mula mendapat reaksi pelbagai pihak dalam kalangan pengguna Internet.

No comments:

Post a Comment