My Add

Friday 24 August 2012

Lelaki tunggang motosikal curi rempuh sekatan polis dan JPJ

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 24 Ogos, 2012: Seorang penunggang motosikal bertindak merempuh sekatan polis trafik Kuala Lumpur dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Genting Klang di sini malam tadi untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa selepas kenderaan yang ditunggangi disyaki motosikal curi.

Berikutan insiden itu, polis mengejar suspek sejauh tiga kilometer sehingga ke sekitar kawasan Zoo Negara dekat sini sebelum lelaki itu bertindak meninggalkan motosikal jenis Honda Wave itu di tepi jalan. 

Ketua Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, motosikal itu dilaporkan dicuri di Wangsa Maju berikutan laporan berhubung kehilangannya dibuat pada 11 April lalu.

Lelaki itu kini sedang diburu, kata Azmi kepada pemberita yang menyertai operasi bersepadu khas motosikal sempena Aidilfitri di Jalan Genting Klang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ Kuala Lumpur, Shamsuddin Sulaiman berkata, operasi dua jam bermula 9.30 malam itu membabitkan 60 anggota JPJ Wilayah Persekutuan dan Unit Kuatkuasa Trafik Kuala Lumpur dengan memeriksa 530 motosikal serta menyita 55 buah motosikal.

Operasi yang turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur itu turut memeriksa 36 penunggang motosikal, lima daripadanya didapati positif dadah jenis syabu serta ganja dan mereka dibawa ke Balai Trafik Tun H.S Lee untuk siasatan.

"Sebanyak 62 saman JPJ dan 38 saman polis trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang kebanyakannya tidak mempunyai lesen memandu, tiada cukai jalan dan cukai jalan tamat tempoh," katanya. 

Shamsuddin berkata, operasi bersepadu itu turut menahan seorang lelaki kerana didapati menggunakan lesen memandu palsu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment