My Add

Monday, 6 August 2012

Berita gembira, hadiah Aidilfitri buat rakyat

KOTA BHARU, AHAD, 05 Ogos, 2012: Rakyat Kelantan menyambut baik keputusan Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil, telus dan saksama berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar ini mendapati, rata-rata orang ramai yang ditemui menyifatkan keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu satu tindakan yang wajar dan amat dialu-alukan.

Seorang peniaga, Mohd. Rizuan Abd. Rahman, 36, berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut membolehkan kajian dilakukan secara menyeluruh berhubung bayaran tunai hasil petroleum kepada Kelantan yang telah menjadi isu selama ini.

"Jika dilihat jawatankuasa khas ini akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, di situ menampakkan kebijaksanaan dan ketelusan Perdana Menteri," katanya di sini hari ini.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Zawawi Mohd. Nor, 47, berpendapat, penubuhan jawatankuasa tersebut menunjukkan keterbukaan serta komitmen Kerajaan Pusat dalam menjaga kepentingan rakyat Kelantan.

"Ini merupakan berita gembira kepada rakyat negeri ini dan boleh dijadikan sebagai 'hadiah' Aidilfitri. Perolehan bayaran tunai hasil petroleum ini kelak boleh digunakan untuk pembangunan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Bagi kakitangan swasta, Rizal Radzi , 29, penubuhan jawatankuasa itu menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini.

"Berita ini merupakan sinar harapan rakyat Kelantan untuk menerima hak mereka dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengambil pendekatan sewajarnya," katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Suzulee Hassan, 43, turut menyambut baik keputusan Kerajaan Pusat itu kerana berpendapat, ia akan memberi manfaat kepada rakyat Kelantan dalam pelbagai aspek pada masa akan datang.

Dia berharap, pembayaran tunai tersebut dapat dilaksanakan dengan segera supaya impaknya dapat dirasai oleh rakyat keseluruhannya.

"Ia keputusan yang sangat dialu-alukan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat Kelantan yang majoritinya masih perlu dibantu," katanya.

No comments:

Post a Comment