My Add

Saturday 11 August 2012

Bomba selamatkan lelaki terperangkap dalam kebakaran

MELAKA, SABTU, 11 Ogos, 2012: Seorang lelaki nyaris maut selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Meriang, Nyalas dekat sini, malam tadi.


K Apoo, 44, ditemui bomba dalam keadaan terbaring dan dipercayai mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dalam kebakaran yang memusnahkan dua bilik rumah itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Tumiran Kiman berkata, pihaknya menerima pangilan pada 10.14 malam dan tiba 36 minit kemudian dengan sembilan anggota dan dua jentera dari Balai Bomba Jasin dan Jasin Bestari.

"Kita mengambil masa yang lama untuk sampai ke lokasi kejadian disebabkan kesukaran mencari rumah tersebut yang berada di kawasan pedalaman," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa mengumpil pintu hadapan rumah tersebut kerana berkunci sebelum mangsa yang berada di ruang tamu berjaya dikeluarkan.

Katanya, Apoo kemudian dihantar ke Hospital Jasin untuk mendapat rawatan dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, dua rumah yang tidak berpenghuni musnah dalam satu lagi kebakaran di Kampung Limbongan di sini kira-kira 6.30 petang semalam.

Kebakaran tersebut turut mengakibatkan hampir 20 keluarga di sekitar kawasan itu terpaksa berbuka puasa dalam gelap selepas sambungan elektrik terpaksa dipotong bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Melaka, Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.38 petang dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian membabitkan 25 anggota dan empat jentera dari balai Bomba Jalan Kubu, Tangga Batu dan Bukit Katil.

"Api dalam keadaan marak ketika bomba tiba dengan rumah terbabit sudah terbakar hampir 80 peratus. Penduduk cuba mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran sementara menunggu ketibaan bomba," katanya.

Beliau, bagaimanapun berkata, tiga lagi rumah berdekatan turut mengalami kebakaran hampir 10 peratus.

Tiada kecederaan dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment