My Add

Saturday 11 August 2012

OKU, orang miskin, ibu tunggal terima sumbangan PM

BANGI, SABTU, 11 gos, 2012: Seramai 162 orang kurang upaya (OKU), orang miskin dan ibu tunggal di sekitar Bandar Baru Bangi, di sini hari ini menerima sumbangan bernilai RM300 setiap seorang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shafei Abdullah di Pasar Bandar Baru Bangi, Seksyen 1 di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Shafei berkata sumbangan itu adalah janji Perdana Menteri untuk menghulurkan bantuan kepada golongan berkenaan dalam lawatan sempena program Jelajah Janji Ditepati ke pasar itu bulan lalu.

Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bangi merangkap Ketua UMNO Bahagian Serdang, Datuk Mohd Fathil Daud dan Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Bandar Baru Bangi Hadijah Mohamad.

Sementara itu, seorang penerima, Mustafa Ibrahim, 50, yang lumpuh akibat kemalangan, berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan itu yang serba sedikit akan meringankan beban beliau sekeluarga lebih-lebih lagi dalam menyambut kedatangan Aidilfitri.

"Duit ini akan diguna untuk membeli keperluan raya," katanya.

Ibu tunggal, Noridah Suboh, 66, pula berkata tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan gembiranya apabila diberi peluang menerima bantuan itu kerana sebelum ini beliau tidak pernah menerima bantuan seumpama itu.

"Syukur Alhamdulillah... (perasaan) sangat suka... lebih banyak persiapan raya boleh dibuat tahun ini," katanya yang mempunyai empat orang anak.

Pada majlis itu, seramai 67 peniaga di pasar berkenaan turut diberi sumbangan berbentuk hamper makanan yang disumbangkan Mohd Fathil. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment