My Add

Saturday 11 August 2012

FTA Malaysia-Bangladesh tertangguh

NEW DELHI, JUMAAT, 10 Ogos, 2012: Pemeterian perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Malaysia dan Bangladesh kini tertangguh berikutan kemasukan isu kuota bebas pekerja dalam pasaran Malaysia oleh Bangladesh sebagai pra syarat untuk FTA itu.

Bulan lepas 'Financial Express' melaporkan Kementerian Perdagangan Bangladesh menghantar cadangan terperinci mengenai kemasukan kuota bebas untuk pekerja Bangladesh ke pasaran Malaysia sebelum pemeteraian FTA.

Kerajaan Malaysia tidak memberi respons terhadap cadangan itu, lapor akhbar berkenaan.

"Keputusan itu kini di tangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Kami sudah mengemukakan pelan terperinci untuk pemeterian FTA,'' katanya.

Akhbar itu berkata, kerajaan Bangladesh mengambil masa hampir dua tahun untuk mengkaji cadangan itu dan mengemukakan kepada kerajaan Malaysia, yang menunjukkan minatnya yang aktif untuk menandatangani FTA terbabit.

Cadangan itu dikemukakan kepada Malaysia selepas kajian dijalankan oleh Suruhanjaya Tarif Bangladesh dan Lembaga Hasil Negara.

Imbangan dagangan dua hala semasa kini memihak kepada Malaysia, memandangkan Bangladesh mengimport banyak barangan pengguna seperti minyak sawit, kata Hossain.

"Jika isu pekerja tidak dimasukkan dalam perjanjian itu, imbangan dagangan akan terus memihak kepada Malaysia," katanya dan menambah Bangladesh berminat menjalin perjanjian itu dalam situasi sama-sama menang.

Bangladesh mengeksport barangan bernilai AS$80 juta (RM256 juta) kepada Malaysia pada tahun fiskal 2011/2012, dan mengimport barangan bernilai AS$1.54 bilion (RM4.928 bilion) pada tempoh yang sama.

Perbincangan FTA dengan Malaysia dimulakan pada 2004 berikutan hubungan yang semakin meningkat antara Kuala Lumpur dan Dhaka untuk meluaskan lagi hubungan dagangan dua negara bersahabat itu, dengan imbangan dagangan memihak kepada Malaysia.

Objektif utama FTA ialah mengurangkan imbangan dagangan dua hala antara kedua-dua negara, lapor akhbar berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment