My Add

Wednesday 8 August 2012

Jeans tiruan bernilai RM160,000 dirampas

KUALA LUMPUR, RABU, 08 Ogos, 2012: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan hari ini merampas 1,063 helai seluar jeans tiruan jenama Levis bernilai lebih RM160,000 di sebuah premis di Danau Kota di sini.

Pengarahnya, Abu Samah Shabudin berkata,serbuan pada pukul 2 petang itu dilakukan tujuh anggota PPDNKK di tingkat satu premis berkenaan, yang dijadikan setor simpanan untuk stok perayaan akan datang.

"Serbuan ini hasil maklumat dan tiga aduan orang ramai serta intipan kami selama seminggu.

"Kita percaya stok seluar jeans ini akan dibekalkan kepada peniaga di Uptown Danau Kota sempena Aidilfitri tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, pemilik premis berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 setiap satu unit barang tiruan tersebut atau penjara tidak lebih tiga tahun.

"Kami harap orang ramai tidak menyokong penjualan barangan tiruan ini dengan membelinya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment