My Add

Wednesday 22 August 2012

'Kelantan perlu lebuh raya baru'



*AwWANG Adek Hussin (kanan) melayani sebahagian daripada lebih 20,000 tetamu yang berkunjung ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Haji Hussin, Perupuk di Bachok, Kelantan, semalam.

Oleh TOREK SULONG
BACHOK, SELASA, 21 Ogos, 2012: Lebuh raya bagi perjalanan dari Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang perlu dibina semula dengan pelan perancangan lebih strategik termasuk meneliti kualiti proses penurapan dan laluan pintas yang dekat jaraknya bagi mengurangkan kesesakan pada setiap musim perayaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, lebuh raya itu amat diperlukan oleh kira-kira 300,000 anak Kelantan yang tinggal di negeri lain untuk pulang ke kampung halaman.

"Ia tidak membabitkan kesesakan dalam kawasan bandar yang amat teruk terutamanya di Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Rantau Panjang yang sepatutnya dapat diatasi menerusi pembinaan rangkaian yang lebih tersusun," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Haji Hussin Perupuk di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan menambah, Kelantan boleh dikategorikan sebagai negeri yang belum memiliki jalinan lebuh raya standard dan bertepatan dengan piawaian yang boleh digunakan oleh penduduk untuk berulang-alik ke Pantai Barat sama ada untuk laluan ke Kuala Lumpur ataupun ke Johor Bahru.

Dalam hubungan ini, katanya, Barisan Nasional (BN) bersedia dan memberi jaminan mampu melaksanakan projek pembangunan sedemikian bagi memudahkan rangkaian perhubungan jalan di antara timur dan barat sekiranya mandat pentadbiran negeri diberikan oleh rakyat Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, komitmen itu berdasarkan janji yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dan antara lain Kerajaan Pusat turut akan membangunkan Kelantan setanding dengan negeri lain jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

"Pembinaan kemudahan itu akan diberi keutamaan kerana ia merupakan kunci kepada pembangunan Kelantan pada keseluruhannya yang dapat memendekkan perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur selain menjimatkan kos pengangkutan.

"Selama ini Kerajaan Pusat turut berusaha membantu menyelesaikan masalah kesesakan itu seperti pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra yang baru dan rangkaian jalan bertingkat yang sedang dilaksanakan," katanya.

Awang Adek berkata, perkara seumpama itu merupakan keperluan rakyat dan seharusnya mampu diselesaikan oleh kepimpinan Pas yang diberi mandat mentadbir Kelantan dalam tempoh yang begitu lama iaitu selama 22 tahun.

Beliau berkata, ini termasuk krisis bekalan air bersih yang masih gagal diselesaikan dan akan turut menjadi masalah serta merumitkan perantau yang kembali ke kampung halaman.

"Berilah laluan, sokongan dan kepercayaan kepada BN untuk melaksanakan perkhidmatan ini agar segala permasalahan dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment