My Add

Saturday 18 August 2012

Kerajaan Pusat atasi masalah air di Pasir Mas

TUMPAT, JUMAAT, 17 Ogos, 2012: Kerajaan Pusat mengambil langkah segera mengatasi masalah bekalan air bersih yang kritikal di Kampung Derdap di sini dan Kampung Kubang Bemban di Pasir Mas, dengan memasang alat penapis bagi memproses air telaga.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penduduk di dua kampung terbabit sering terputus bekalan air bersih berikutan bekalan air yang dibekalkan Air Kelantan Sdn. Bhd., tidak mencukupi.

"Sistem penapis air tersebut mampu menghasilkan air bersih yang selamat untuk diminum dan ia diharap dapat menampung bekalan air bersih kepada penduduk termasuk anggota keluarga yang pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya," katanya kepada pemberita selepas meninjau pemasangan penapis air di Kampung Derdap di sini, hari ini.

Mustapa, yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, berkata, alat penapis air berharga RM95,000 seunit akan dipasang di dua lagi kampung yang menghadapi masalah sama iaitu Kampung Tualang di sini dan Kampung Padang Tok La di Pasir Mas, selepas Aidilfitri ini.

Terdapat banyak lagi kampung yang menghadapi masalah sama dan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan sudah diarah mengenal pasti kampung yang perlu diberi keutamaan bagi pemasangan alat penapis, katanya.

Beliau berkata, peruntukan segera bagi pemasangan alat penapis air itu adalah sebagaimana diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang prihatin dengan masalah dihadapi rakyat dan mahu ia diselesaikan segera.

Perdana Menteri ketika melawat negeri ini 5 Ogos lalu, menerima memorandum daripada 14 badan bukan kerajaan (NGO) yang memohon beliau segera membantu mengatasi masalah bekalan air bersih di negeri ini terutama di Tumpat dan Pasir Mas.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui di Kampung Derdap begitu gembira dengan pemasangan alat penapis air yang akan membolehkan mereka menyambut hari raya dengan lebih selesa ketika ramai anggota keluarga pulang berhari raya di kampung itu.

Yasir Abdul Rahman, 42, berkata, bekalan air bersih alternatif itu akan digunakan kira-kira 300 orang daripada 100 keluarga di kampung itu yang selama ini terpaksa mengangkut air dari kampung berdekatan setiap kali bekalan air AKSB terputus.

Che Bidah Che Amat, 45, pula berkata masalah air ini berlaku sejak setahun lalu yang mana air yang ditadah hanya cukup untuk diminum dan untuk memasak sahaja. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment