My Add

Thursday 23 August 2012

Lebih 2,000 keluarga terputus bekalan air di Baling

BALING, KHAMIS, 23 Ogos, 2012: Lebih 2,000 keluarga di daerah Baling kini menghadapi gangguan bekalan air yang kritikal sejak dua bulan lalu.

Ketika menyambut Aidilfitri Ahad lalu mereka langsung ketiadaan bekalan air yang sebelum itu dibekalkan Syarikat Air Darul Aman (Sada) untuk kegunaan mandi dan memasak. 

Keadaan terbabit dialami sejak beberapa hari sebelum kedatangan 1 Syawal lagi, apabila paip air yang masuk ke rumah mereka langsung tidak menitis.

Antara kampung terbabit dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang yang teruk terjejas ialah Kampung Parit Panjang, sekitar pekan Kupang, kawasan perumahaan sekitar Pekan Tawar dan Pekan Malau.

Dalam kawasan DUN Kuala Ketil pula, kampung yang terbabit ialah di taman perumahaan sekitar pekan Kuala Ketil.

Dalam kawasan DUN Bayu, lebih 10 kampung tiada bekalan air antaranya Kampung Tanjong Pari, Kampung Weng Luar dan Weng Dalam, Kampung Carok Putih, Kampung Becah Sawa, Kampung Lalang, Kampung Carok Bunting, Kampung Pokok Setol, Kampung Luar dan Kampung Siput.

Ada penduduk terpaksa menggunakan air kolam ternakan ikan untuk mandi di pagi raya, manakala di Kampung Carok Bunting, mukim Siong seorang penduduk menggali telaga untuk mendapatkan air sejak sebulan yang lalu. 

"Walaupun tong air disediakan pihak Sada, ia tidak mencukupi untuk keperluan seluruh kampung," kata Basri Ahmad, 43.

Seorang lagi penduduk, Nasaruddin Md Zin, 38, dari Kampung Carok Bunting sedih dengan keadaan yang terjadi.

Beliau berkata, di kampungnya hampir setiap hari bekalan air terganggu dan meminta pihak Sada segera mengatasi masalah mereka dan bukan hanya memberi nasihat supaya bersabar semata-mata.

Seorang peniaga kedai makanan di Pekan Kampung Lalang, di Mukim Siong, Musa Abdullah, 40, berkata beliau dan rakan peniaga yang lain mungkin tutup kedai jika keadaan tiada bekalan air itu berterusan.

"Saya berharap kerajaan negeri dan Sada berbuat sesuatu kerana apa yang kami alami sekarang sama seperti nasib pelarian di negara tertentu yang ketiadaan air untuk minum dan mandi.

"Slogan Negara Berkebajikan dan Kedah Sejahtera sudah tidak terpakai lagi daripada keadaan yang sedang kami hadapi sekarang," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Datuk Azmi Che Husain berkata, beliau akan mendesak pihak berkenaan mengatasi masalah gangguan bekalan air yang kritikal itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment