My Add

Thursday 23 August 2012

Transformasi pendidikan teknikal di Sarawak perlu komitmen

SIBU, KHAMIS, 23 Ogos, 2012: Transformasi pendidikan teknikal di Sarawak perlu dilaksanakan secara mantap dan penuh komitmen, kata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

“Ini bagi membolehkan tumpuan diberi dalam melatih dan melahirkan rakyat yang cekap dan mampu melakukan penyelidikan dalam bidang teknikal,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran komuniti Muslim diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka, Dr Annuar Rapaee, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), yang juga kawasan pembangunan negeri adalah mengenai perindustrian dan penting bagi Sarawak melahirkan golongan yang memiliki kepakaran dan kemahiran teknikal di semua peringkat.

"Kita berjaya menarik pelaburan asing berbilion ringgit untuk industri berat. Tanda-tanda menunjukkan ramai lagi (pelabur) sedang bergerak masuk dari negara jiran seperti Thailand, jadi kita perlu mampu untuk memenuhi keadaan itu," katanya.

Taib berkata, wakil rakyat yang dipilih dan sektor korporat boleh memainkan peranan untuk menarik lebih ramai belia terutama dari luar bandar mempelajari dan menjalani latihan di bidang teknikal.

"Pendidikan teknikal bukan semata-mata mengenai matematik dan sains. Latihan praktikal dan latihan dalam kerja adalah juga sama penting. Mereka boleh melangkah seterusnya dari situ," katanya.

Taib berkata, kerajaan sudah membantu menubuhkan empat universiti, jumlah yang paling banyak bagi sesebuah negeri dan yang kelima, Universiti Teknologi Sarawak, akan dibina di sini tidak lama lagi. 

"Sarawak mesti memberi penekanan yang lebih terhadap pendidikan teknikal, jika tidak kita akan berdepan dengan kekurangan tenaga kerja berkebolehan dan kompeten yang diperlukan bagi kejayaan SCORE," katanya.

Beliau berkata, selain terdapat potensi tenaga hidro yang dianggarkan 24,000 Megawat, negeri ini juga sudah membuka satu juta hektar ladang kelapa sawit manakala dalam kawasan SCORE sendiri ada antara tiga hingga enam kawasan paling sesuai untuk industri pulpa dan kertas.

"Kita seharusnya mengenepikan kepentingan politik dan mewujudkan hubungan rapat serta mendidik rakyat supaya menggunakan kemahiran dan bakat yang ada pada mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment