My Add

Wednesday 8 August 2012

MAIPP akan siasat cubaan memurtadkan umat Islam

BUKIT MERTAJAM, SELASA, 07 Ogos, 2012: Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) akan menyiasat dakwaan kumpulan pelancong asing yang didakwa cuba menjalankan aktiviti mengkristiankan umat Islam di negeri ini.

Yang Dipertua MAIPP, Datuk Mohd. Salleh Man berkata, tindakan itu bagi memastikan aktiviti tidak bertanggungjawab tersebut dapat dihalang.

"Saya harap mereka yang mendakwa ada usaha pendakwah asing itu memberikan maklumat dan saya akan mengadakan perjumpaan dengan mereka bagi mengetahui kejadian sebenar serta lokasinya.

"Selain itu, saya juga mengarahkan bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) memantau dan mengambil tindakan tegas membendung kegiatan tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Bantuan Aidilfitri di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam yang membenarkan Majlis Agama Islam negeri melalui peruntukan enakmen sedia ada mengambil tindakan undang-undang terhadap pendakwah agama lain yang cuba menyebarkan fahaman mereka kepada umat Islam.

Khamis lalu, sebuah akhbar melaporkan dua lelaki dipercayai pelancong asing cuba menyampaikan ajaran agama Kristian ketika umat Islam bersiap sedia berbuka puasa.

Mohd. Salleh berkata, pihaknya memberi amaran kepada pendakwah Kristian terbabit menghentikan perbuatan itu kerana pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment