My Add

Friday 17 August 2012

Malaysia digesa tutup kedutaan Syria

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Ogos, 2012: Malaysia digesa mengambil pendirian lebih tegas berhubung isu pergolakan di Syria dengan bertindak menutup kedutaan negara itu di sini.

Gesaan itu dinyatakan oleh seorang ulama yang juga salah seorang pemimpin Rabitah Ulama Syria, Sheikh Dr. Khalik Kindo yang berharap Malaysia dapat mencontohi inisiatif yang dilakukan beberapa negara lain.

"Kerajaan Syria di bawah Presiden, Bashar al-Assad telah melakukan banyak kezaliman sehingga sanggup membunuh kanak-kanak, wanita dan ulama.

"Rakyat Syria telah dibunuh setiap hari tanpa belas kasihan, kalau di Malaysia yang mengalirnya air hujan, tetapi di Syria yang mengalirnya darah di setiap jalan,'' katanya pada sidang akhbar yang telah diaturkan Gabungan Selamatkan Syria (GSS) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) di sini hari ini.

Selain Khalik yang merupakan pensyarah di Universiti King Abd. Aziz, Jeddah, dua lagi ulama Syria yang telah didatangkan ke negara ini ialah Setiausaha Rabitah Ulama Syria, Sheikh Dr. Mohammad Shawaf serta seorang lagi ulama, Sheikh Khalid Bakir.

Rabitah Ulama Syria merupakan sebahagian daripada pertubuhan al-Ittihad al-Alami lil-Ulama al-Muslimin yang dipimpin tokoh ulama terkemuka, Sheikh Dr. Yusuf al-Qardhawi.

Menurut Pengerusi Sekretariat GSS, Naim Jusri, kehadiran ulama Syria dalam lawatan ke negara ini bertujuan memberi gambaran terkini dan sahih tentang pergolakan yang berlaku di Syria.

"Antara jadual yang dirancang ialah pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pertemuan bersama Mufti Selangor, khutbah Jumaat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan 'roadshow' ke masjid-masjid di sekitar Lembah Klang,'' katanya.

Pada majlis hari ini, sumbangan sebanyak RM10,000 telah disalurkan Ikram kepada Tabung Kemanusiaan Syria dan turut hadir ialah Ahli Dewan Perwakilan Nasional Ikram, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment