My Add

Monday 13 August 2012

MCA perlu terus dekati rakyat

KUALA LUMPUR AHAD, 12 Ogos, 2012: Para pemimpin dan ahli-ahli MCA digesa untuk terus mendekatkan diri mereka dengan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti tersebut.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, MCA hanya akan dapat meraih sokongan kaum Cina apabila wakil rakyatnya mencontohi pendekatan digunakan Perdana Menteri iaitu turun padang berjumpa rakyat setiap hari.

"Wakil rakyat merupakan saluran untuk rakyat menyatakan hasrat, keperluan serta rasa tidak puas hati mereka untuk diselesaikan.

"Kita sepatutnya sejak dulu lagi telah mengenal pasti bagaimana untuk menarik pengundi Cina kepada Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Wilayah Persekutuan hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tan Chai Ho.

Menurut Tiong Lai, MCA perlu menyelami masalah akar umbi dan kehendak masyarakat Cina yang kini hampir di dominasi oleh pembangkang.

"Pembangkang sangat bijak dalam membohongi rakyat. Contohnya isu hudud, sehingga kini DAP terus menipu rakyat berhubung agenda sebenar Pas untuk menubuhkan negara Islam.

"Selain itu, mereka juga pandai mempergunakan NGO untuk membantu mendapatkan undi-undi simpati, demonstrasi jalanan dan sebagainya.

"Kita perlu celik dan jangan biarkan pembangkang terus memperbodoh-bodohkan rakyat dengan agenda mereka, kita harus menjaga kebajikan rakyat," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinannya MCA mampu memperoleh kemenangan lebih besar kali ini berbanding pilihan raya umum lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment