My Add

Thursday 16 August 2012

Myanmar diyakini sedia terima etnik Rohingya

PUTRAJAYA, RABU, 15 Ogos, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) optimis kepimpinan Myanmar sedia mempertimbangkan pandangan dunia supaya menerima etnik minoriti Islam Rohingya sebagai rakyat negara itu.

Beliau berkata, kepimpinan Myanmar hari ini mempunyai pendirian berbeza dengan kepimpinan terdahulu tetapi usaha tersebut mungkin mengambil sedikit masa.

"Mungkin akan ambil masa tetapi tidaklah lama seperti mereka hendak terima sistem demokrasi, saya tidak fikir mereka tidak langsung peduli kepada pendapat negara jiran dan dunia, akhirnya mereka tentu akan terima juga," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, sebagai rakan akrab, pemimpin Malaysia boleh bercakap secara peribadi dengan pemimpin tertinggi Myanmar tanpa perlu publisiti meluas supaya mengiktiraf masyarakat Rohingya.

Menurutnya, Malaysia sudah lama menerima pelarian Rohingya yang tertindas dan tidak diterima semula kerajaan negara itu meskipun mereka mahu pulang ke negara asal.

"Eloklah kalau Myanmar beri pertimbangan supaya etnik Rohingya dapat hidup sebagai rakyat di negara sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau telah menulis surat kepada pemimpin Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), Au Sang Su Kyi dua minggu lalu walaupun menyedari pemimpin itu belum berkuasa untuk menyuarakan perasaan masyarakat negara ini terhadap pembunuhan ke atas etnik Rohingya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan etnik Rohingya akan mengalami nasib malang serupa rakyat Palestin yang ditindas Israel apabila dihalau keluar dan tidak dapat kembali ke tanah air sendiri.

Ditanya mengenai gesaan resolusi Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam ASEAN dalam persidangannya semalam yang mendesak agar keanggotaan Myanmar dalam ASEAN digugurkan, beliau berkata, tindakan itu tidak perlu.

"Terlalu awal untuk ambil tindakan sebegitu keras, kita sepatutnya pujuk dulu, bagi peluang kepada Myanmar, mungkin mereka akan berubah fikiran dan perlukan masa lagi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment