My Add

Saturday 11 August 2012

Pelajar kutip derma: Tindakan terhadap sekolah

BUKIT MERTAJAM, JUMAAT, 10 Ogos, 2012: Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana sekolah yang gagal mematuhi pekeliling yang dikeluarkan berhubung kebenaran kepada pelajar untuk mengutip derma di luar kawasan sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihak sekolah perlu mematuhi beberapa perkara, terutamanya harus mendapat kebenaran daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang aktiviti kutipan derma.

Beliau berkata, terdapat tiga pekeliling yang dikeluarkan kementerian iaitu bil 7/1977, bil 7/1983 dan bil 3/1997 yang harus dipatuhi oleh pihak sekolah berkaitan aktiviti mengutip derma oleh pelajar sekolah.

"Antara yang terkandung dalam pekeliling berkenaan ialah keselamatan pelajar harus diutamakan dan oleh itu hanya pelajar berusia 16 tahun ke atas sahaja dibenarkan mengutip derma di luar kawasan sekolah serta mendapat kebenaran daripada JPN dan polis terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajar mengutip derma di luar kawasan sekolah kerana aktiviti itu mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment