My Add

Monday 13 August 2012

Pembangkang terdesak, guna taktik lebih liar

KUALA LUMPUR, AHAD, 12 Ogos, 2012: Pendedahan yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin membuktikan pembangkang semakin terdesak sehingga terpaksa menggunakan taktik lebih liar untuk menjejaskan kredibiliti Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Pemerhati politik, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, taktik itu jelas menunjukkan pembangkang mengamalkan sistem yang diluar norma-norma berpolitik.

"Parti pembangkang seolah-olah dalam keadaan gerhana, sebab itu pelbagai taktik kotor dirancang untuk mempengaruhi rakyat termasuk dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribu.

"Tetapi nampaknya taktik mereka ini lama-kelamaan memakan diri apabila individu yang dibelakang mereka selama ini iaitu Raja Petra membuat pendedahan demi pendedahan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Raja Petra mengenai komplot fitnah di sebalik akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasundram yang menuduh Perdana Menteri terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia itu.

Bagaimanapun, Ahmad menyifatkan seni politik yang tidak munasabah oleh pembangkang itu nampaknya semakin banyak memberi kelebihan dan membantu meningkatkan kredibiliti Najib.

"Mengapa Najib mendapat faedah daripada taktik kotor ini? Jawapannya ialah rakyat Malaysia tidak menerima taktik kotor kerana di negara ini jumlah yang bijak pandai dan berpendidikan semakin banyak.

"Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu bukan lagi hidup di zaman 50 tahun dulu yang menerima dan mempercayai sesuatu isu tanpa berfikir," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi berkata, pembangkang terpaksa menyerang imej dan peribadi Perdana Menteri kerana mereka tidak mampu mengatasi gerak kerja dan kepimpinan beliau.

Menurutnya, dalam mana-mana propaganda pun, serangan atau merosakkan imej individu adalah lebih mudah dan pendekatan inilah yang digunakan oleh pembangkang.

"Macam kes pembunuhan Altantuya, pembangkang mengheret imej Najib kerana cara itu lebih mudah untuk meningkatkan emosi marah rakyat.

"Bagaimanapun, rakyat semakin bijak menilai dan menolak semua tohmahan yang tidak berasas," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment