My Add

Wednesday 22 August 2012

Pencarian 4 mangsa banjir di Leuser diteruskan

JAKARTA, SELASA, 21 Ogos, 2012: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini meneruskan pencarian terhadap empat orang yang masih hilang dalam kejadian banjir kilat di daerah kecil Leuser, dalam daerah Aceh Tenggara.


Sebelum ini, dua daripada mangsa yang dilapor hilang ditemui mati lemas dalam kejadian yang berlaku sehari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri itu.
"Pagi ini kami kembali menyisir kawasan sungai untuk mencari empat penduduk yang masih hilang," kata Ketua Pos SAR Aceh Tenggara, Juanda kepada wartawan.

Juanda berkata, pasukan SAR yang turut membabitkan anggota tentera dan polis serta beberapa agensi lain menyisir sungai itu dari lokasi awal banjir hingga ke beberapa batang sungai di sekitar kawasan itu.

Sementara itu, beberapa kampung yang sebelum ini terputus perhubungan akibat banjir kilat itu kembali normal selepas pasukan tentera membina sebuah jambatan kecemasan merentangi sebatang sungai di Leuser.

Anggota tentera turut membantu membersihkan kawasan yang dilanda banjir daripada sisa runtuhan bangunan dan batang pokok yang dibawa arus air bah.

Juanda berkata, ratusan mangsa dari desa Sepakat, Naga Timbul dan Yang Pangi yang dipindahkan ke stadium bola sepak Kutacane, dibenar pulang ke desa masing-masing.

Banjir kilat itu mengakibatkan kira-kira 70 rumah penduduk, yang kebanyakannya dibuat daripada kayu, mengalami kerosakan.

Aceh Tenggara ialah antara daerah yang bersempadan dengan Provinsi Sumatera Utara.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment