My Add

Wednesday 8 August 2012

Penjenayah cedera ditembak

SHAH ALAM, SELASA, 07 Ogos, 2012: Seorang penjenayah yang dikehendaki polis berhubung kes melarikan individu dalam jagaan sah, merogol dan mencabul kehormatan, cedera selepas ditembak dalam satu kejadian di Taman Saujana Indah, Jenjarom di Banting, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata suspek yang menaiki motosikal berada dalam keadaan mencurigakan serta cuba melarikan diri sebaik terserempak dengan polis yang membuat rondaan.

"Suspek berusia 34 tahun, memecut motosikalnya namun panik selepas mendapati laluan yang ditujunya ialah jalan mati.

"Sebaik anggota polis mendekati, suspek bertindak agresif dan menyerang anggota polis menyebabkan tembakan dilepaskan dan mengenai paha kanannya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Mohd. Adnan berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang penganggur, menggunakan motosikal milik abang tirinya sewaktu ditahan.

Suspek kini direman sehingga 12 Ogos ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment