My Add

Wednesday 8 August 2012

Perangi jenayah di ruang siber

ST. PETERSBURG, RUSIA, SELASA, 07 Ogos, 2012: Malaysia hari ini menyeru masyarakat global supaya meningkatkan daya tahan dan memantapkan pelaksanaan program penguatkuasaan undang-undang dalam memerangi jenayah di ruang siber.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penguatkuasaan undang-undang komuniksi teknologi maklumat (ICT) secara bersama oleh masyarakat global perlu bergerak seiring dengan usaha setiap mereka dalam perkara itu.

Katanya, internet memang membawa manfaat serta kemajuan untuk manusia, tetapi ia juga mempunyai kesan negatif.

"Dalam kita begitu menghargai kebebasan yang terdapat dalam dunia siber, pada waktu sama, jenayah berkaitan perkara ini juga kelihatan semakin meningkat melalui internet di seluruh dunia.

"Jadi, apa yang juga amat diperlukan ialah merangka pendekatan dan mekanisme berkesan untuk menguatkuasakan peraturan serta undang-undang dalam rejim internet. Apa yang bercanggah dengan undang-undang di luar internet, perlulah juga dianggap bercanggah dengan undang-undang dalam persekitaran ICT," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Peringkat Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat (Telmin) APEC Ke-9, di sini hari ini.

Beliau berkata, bimbingan pelajaran dan sosial perlu dianggap sesuatu yang amat penting.

Mesyuarat dua hari itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Media Massa Rusia, Nikolai Nikiforov.

Dalam ucapannya bertajuk Memantapkan Kegiatan Sosioekonomi Melalui Penggunaan ICT, Rais berkata, komunikasi dan ICT kini menjadi pemboleh utama dalam memantapkan pertumbuhan sosioekonomi di Malaysia terutama sejak dekad lepas.

"Komunikasi dan ICT menghubungkan kami dengan arus utama pembangunan global yang hari ini menjadi pemangkin terhadap pertumbuhan bagi hampir semua sektor ekonomi kami seperti yang dapat dilihat melalui hasil yang dijana industri ini iaitu lebih kurang RM48.8 bilion (US$16.3 bilion) pada 2011," katanya.

Beliau berkata, kepentingan sektor itu yang semakin meningkat juga dapat dilihat apabila Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur (CCI) kini dikenal pasti sebagai satu daripada 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Negara (NKEA) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan di Malaysia.

Kata beliau, sasaran CCI NKEA ialah menjana RM57.7 bilion (US$19.3 bilion) melalui pelbagai projek permulaan sebagai Pendapatan Kasar Negara (GNI) menjelang 2020 dan untuk mencapai sasaran itu, kerajaan Malaysia akan melipatgandakan usaha untuk menyediakan kandungan serta perkhidmatan baru yang menarik bagi merangsang permintaan dan membuka peluang dalam sektor lain.

Beliau berkata, untuk menyokong permintaan yang meningkat, pelaburan akan disalurkan ke dalam pembangunan aplikasi dan kandungan serta pembinaan infrastruktur yang memberi fokus khusus terhadap kualiti dan kelajuan.

"Sektor utama ekonomi akan diberi kemudahan sepenuhnya daripada segi CCI.

Dalam proses ini, kami akan wujudkan 43,162 pekerjaan tambahan, dengan lebih 75 peratus daripadanya melibatkan kemahiran tinggi," kata beliau.

Mengenai sektor pembangunan sosial, Rais berkata Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) yang dilancarkan kerajaan pada 2008 membolehkan lebih ramai orang mempunyai capaian terhadap Internet dan ini seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Kini, transformasi ekonomi dilaksanakan dalam kalangan masyarakat luar bandar, yang menggunakan ICT untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

"Sehingga 18 Julai, kadar penembusan jalur lebar isi rumah mencapai 63.8 peratus, berbanding sasaran asal penembusan sebanyak 50 peratus isi rumah pada 2010," katanya.

Beliau berkata, projek yang memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi termasuk pengagihan satu juta komputer netbook 1Malaysia yang menggunakan kemudahan jalur lebar kepada pelajar kurang berkemampuan dan isi rumah berpendapatan rendah.

Katanya, setakat ini, hampir 683,000 daripada satu juta netbook itu diagihkan kepada pelajar dan penduduk luar bandar di seluruh negara, manakala 500,000 unit lagi dijangka disediakan pada masa akan datang.

Rais berkata, penubuhan 471 Pusat Internet 1Malaysia yang terdiri daripada Pusat Jalur Lebar Komuniti (JLK) dan Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti (PJLK) turut memainkan peranan penting dalam usaha mengubah hidup rakyat Malaysia dan membuka pintu untuk mereka meneroka bidang perniagaan di luar negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment